10 kluster baharu di Singapura

SINGAPURA 31 Julai – Sepuluh kluster baharu direkodkan di Singapura  semalam yang menjadikan 63 kluster masih aktif dengan setiap satunya mempunyai antara tiga hingga 999 jangkitan.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), kluster 105 Henderson Crescent diisytihar tamat kerana tiada lagi kes yang berhubung kait dengannya selama dua tempoh pemeraman terakhir.

Kluster Zuellig Pharma pula mempunyai enam kes, kluster Restoran Samy Curry 49 kes, kluster Kasino Marina Bay Sands 54 kes.

MoH juga menyatakan jumlah keseluruhan kes baharu dalam masyarakat berkurangan daripada 961 kes pada minggu sebelumnya kepada 878 kes  minggu lalu.

“Kita mungkin akan terus menyaksikan jumlah kes yang tinggi dalam beberapa hari mendatang sedang kami meningkatkan usaha pengesanan kontak untuk membendung penularannya dalam masyarakat,” menurut MoH dalam kenyataan.

Sementara itu, sebanyak 571 kes kini berada di hospital, dengan kebanyakannya beransur pulih dan di bawah pemantauan.

Pada masa ini terdapat 26 kes serius, tujuh daripadanya dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi (ICU).

Mengenai vaksinasi, sebanyak 7,429,918 dos vaksin Covid-19 sudah diberikan melibatkan 4,290,278 di bawah program vaksinasi nasional setakat 29 Julai.

Sebanyak 3,261,603 individu sudah selesai divaksinasi sepenuhnya yang terdiri daripada 121,963 pesakit Covid-19 yang sudah pulih yang menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 3,139,640 individu yang sudah menerima dos kedua.

Pada masa sama, 99,919 dos vaksin Sinovac sudah diberikan setakat 29 Julai, merangkumi 73,053 individu.

“Terdapat bukti yang berterusan bahawa vaksinasi membantu mencegah penyakit serius apabila seseorang dijangkiti,” kata MoH.

Related posts

Leave a Comment