Saudi buka semula pintu pelancong

RIYADH 31 Julai – Selepas menutup pintu selama 17 bulan berikutan pandemik Covid-19, bulan, Arab Saudi bakal membuka semula sempadan kepada pelancong asing yang sudah menerima vaksinasi lengkap, bermula esok, 1 Ogos.

Saudi Press Agency melaporkan, Kementerian Pelancongan mengumumkan negara akan membuka semula pintunya kepada pelancong asing, dan menarik balik penggantungan kemasukan pemegang visa pelancong.

Pengembara yang sudah menerima imunisasi lengkap dengan suntikan vaksin diluluskan Arab Saudi – Pfizer, AstraZeneca, Moderna atau Johnson & Johnson – akan dibenarkan untuk memasuki negara ini ‘tanpa perlu menjalani kuarantin di institusi kuarantin.’

Namun, ia dengan syarat keputusan ujian saringan reaksi rantaian polimerase (PCR) Covid-19 diambil mereka dalam tempoh 72 jam terakhir adalah negatif, selain mendaftarkan butiran diri dengan pihak berkuasa kesihatan.

Riyadh memperuntukkan kos besar untuk membangunkan industri pelancongannya, sebagai sebahagian daripada usaha mempelbagaikan ekonomi yang bergantung pada hasil minyak.

Negara ini julung kali mengeluarkan visa pelancong pada 2019 dalam usaha memperbaiki imejnya pada peringkat global serta menarik kunjungan pelawat.

Sebanyak 400,000 visa itu dikeluarkan antara September 2019 hingga Mac 2020 sebelum pandemik menjejaskan momentum berkenaan dengan penutupan sempadan.

Penularan wabak itu turut memberi kesan terhadap pelaksanaan ibadah haji serta umrah yang lazimnya berupaya menjana pendapatan kira-kira AS$12 bilion ($15.6 bilion) setiap tahun kepada negara ini pada masa normal.

Ketika ini, hanya jemaah yang sudah diimunisasi dan menetap di Arab Saudi layak memohon permit umrah.

(foto SPA)

Related posts

Leave a Comment