PUTRAJAYA 30 Julai – Jumlah keseluruhan kes jangkitan meningkat kepada 1,095,486 kes berikutan pertambahan kes baharu sebanyak 16,840.
Sebanyak 134 kematian membabitkan jangkitan Covid-19 dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan 8,859 orang.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Selangor kekal mencatatkan kes kematian tertinggi iaitu 35 kes diikuti Melaka (17), masing-masing 15 kes di Johor dan Negeri Sembilan, masing-masing 12 kes di Kedah dan Perak serta Kuala Lumpur (10).
Selain itu, enam kes di Sabah, Terengganu (lima), Pahang (empat), Kelantan (dua) dan satu kes di Pulau Pinang.
“Sehingga kini 183,706 kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 iaitu 1,055 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 532 kes memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengenai kes baharu hari ini, Dr Noor Hisham berkata, 16,556 kes atau 98.3 peratus berada dalam kategori satu dan dua iaitu masing-masing tidak bergejala dan bergejala ringan.
Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 287 kes yang dikesan hari ini atau 1.7 peratus adalah pesakit Covid-19 kategori tiga hingga lima iaitu mempunyai radang paru-paru, memerlukan bantuan oksigen serta kritikal.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan sehingga jam 12 tengah hari ini terdapat 12,179 kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif kes pulih ialah 902,921 kes.