47 kluster baharu, 1,784 dijangkiti

PUTRAJAYA 30 Julai – Sebanyak 47 kluster baharu dikesan hari ini,  angka tertinggi kluster jangkitan Covid-19 yang pernah dilaporkan dalam sehari, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Daripada jumlah itu 24 kluster membabitkan tempat kerja, kalangan komuniti (17), kumpulan berisiko (tiga), institusi pendidikan (dua) dan satu aktiviti keagamaan.

Berikutan pertambahan kluster itu seramai 1,784 individu disahkan dijangkiti Covid-19.

“Ada antara kluster dikesan membabitkan majlis perkahwinan, merentas negeri dan aktiviti ziarah ketika perayaan.

“Kluster Kampung Haji Saman yang dikesan di Bachok, Kelantan membabitkan individu menghadiri majlis perkahwinan kini sudah menjangkiti 21 individu, termasuk 14 kes yang dilaporkan hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi Kluster Kampung Padang Kunyit Perak membabitkan aktiviti sosial sempena perayaan, Dr Noor Hisham berkata, ia dikesan di Hulu Perak yang kini sudah menjangkiti 21 individu.

“Tiga kluster rentas negeri pula dikenali Kluster Sungai Durian, Kluster Dah Kampung Pekan dan Kluster Tapak Bina Kampung Gesing.

“Setakat ini, ketiga-tiga kluster berkenaan sudah menjangkiti seramai 66 individu,” katanya.

Related posts

Leave a Comment