KUALA LUMPUR 29 Julai – Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa supaya kegiatan penjualan haram ivermectin yang boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan, dihentikan segera.
MPS dan MMA dalam kenyataan bersama berkata, pihaknya terkejut dan bimbang dengan penjualan haram secara meluas ivermectin yang kononnya dapat mencegah jangkitan Covid-19.
Katanya, sejak beberapa minggu ini, Cawangan Penguatkusaan Farmasi yang menjalankan penguatkuasaan di seluruh negara berjaya menyita ubat itu yang dijual secara meluas.
Malah, beliau mendakwa ada ahli politik dan persatuan pengguna yang meminta penggunaan ubat ini sebagai profilaksis terhadap jangkitan Covid-19.
Ivermectin adalah racun dalam kumpulan B yang belum lagi didaftarkan di Malaysia untuk penggunaan bagi merawat atau mencegah Covid-19 dalam kalangan manusia.
“Ketika ini ubat itu hanya diluluskan untuk penggunaan label luar, bagi ujian klinikal yang dijalankan di 12 hospital di Malaysia,” katanya.
Oleh itu, katanya, tiada mana-mana doktor atau ahli farmasi yang boleh memberi preskripsi selain yang diluluskan mengikut arahan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Katanya, sejak bermulanya pandemik itu, terdapat kajian dan pemerhatian rawak untuk menilai ivermectin sebagai rawatan dan profilaksis terhadap jangkitan COVID-19.
Bagaimanapun, katanya, terdapat bukti kepastian rendah bahawa profilaksis ivermectin dapat mengurangkan Covid-19.
Namun penting untuk masyarakat memahami bahawa penggunaan ivermectin yang tidak terkawal boleh menyebabkan kesan sampingan yang buruk.
Beliau berkata, rakyat Malaysia sepatutnya lebih mempercayai vaksin Covid-19 yang sudah menunjukkan kesan dalam mengurangkan kadar jangkitan dan kematian.