KKM cadang kehadiran dihad

KUALA LUMPUR 29 Julai – Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan jumlah kehadiran secara fizikal di Parlimen dikurangkan dan tempoh persidangan dipendekkan berikutan 56 kes positif Covid-19 dikesan di Parlimen.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata perkara itu dicadangkan beliau ketika Mesyuarat Penyelarasan Bagi Urusan Berkaitan Mesyuarat Khas Bagi Dewan Rakyat pada Isnin lalu.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga semalam sebanyak 56 kes positif Covid-19 dikesan membabitkan dua Ahli Parlimen, pegawai pengiring (enam) dan pegawai dari pelbagai agensi kerajaan (48).

Katanya, ini menjadikan kadar positif adalah 2.7 peratus dan daripada 56 kes positif itu, seramai 39 orang atau 69.6 peratus adalah mereka yang belum menerima dos vaksin lengkap atau belum menerima vaksin.

“Hasil siasatan dan penilaian risiko dijalankan sehingga semalam, kes positif ini tidak mempunyai kaitan epidemiologi di antara satu sama lain.

“Justeru, individu yang disahkan positif tidak dibenarkan hadir ke Sidang Parlimen. Mereka sudah diasingkan, dirawat dan diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO) termasuk kepada kontak rapat kes positif sebelum bermula Sidang Mesyuarat Khas Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Noor Hisham berkata, siasatan masih diteruskan untuk mengesan kontak rapat kepada kes positif ini dan sehingga semalam, empat kontak rapat disahkan positif Covid-19.

Katanya, semua kontak rapat ini tidak hadir sejak hari pertama persidangan berlangsung dan sedang dalam tindakan susulan oleh pihak kesihatan.

Bagaimanapun katanya, bagi memastikan kelancaran Sidang Khas Parlimen yang bermula Isnin lalu, semua individu dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan sedia ada.

“KKM akan terus memantau perkembangan situasi di Parlimen. Pasukan kesihatan dari Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersama dari Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) turut ditempatkan di bangunan Parlimen untuk menyelaras saringan demam dan gejala ke atas semua yang memasuki bangunan Parlimen,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga semalam, seramai 104 individu menjalani ujian saringan kendiri Kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) menggunakan sampel air liur dan mendapati kesemuanya negatif Covid-19.

“Berdasarkan penilaian risiko dijalankan oleh pasukan kesihatan yang ditempatkan di Parlimen, buat masa ini tiada penularan jangkitan COVID-19 dikesan. Pemantauan dan penilaian risiko akan diteruskan sehingga Sidang Mesyuarat Parlimen berakhir,” katanya.

Related posts

Leave a Comment