Rasuah : Sultan Selangor dukacita

SHAH ALAM 28 Julai – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan akan menarik balik kurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran serta Pingat Negeri bagi pegawai kerajaan dan ahli politik yang didapati bersalah dalam kes rasuah.

Baginda yang dukacita dengan laporan beberapa pegawai kerajaan di Selangor  terlibat dalam kegiatan rasuah dan pecah amanah menegaskan mereka yang bersalah hendaklah dikenakan tindakan tatatertib dan hukuman setimpal.

Dalam kenyataan menerusi Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Muhamad Munir Bani , baginda juga menegaskan kegiatan rasuah boleh meruntuhkan imej pentadbiran dan nama baik seluruh pegawai Kerajaan di Negeri Selangor.

Sultan Sharafuddin Idris Shah turut menzahirkan penghargaan baginda kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam melaksanakan tanggungjawab menyiasat dan memastikan gejala rasuah di Selangor dapat dibanteras.

Baginda menyeru pihak SPRM supaya terus menjalankan penyiasatan yang telus dan teliti serta mendapatkan bukti-bukti yang kukuh bagi memastikan mereka yang terlibat rasuah akan menerima hukuman sewajarnya.

Tambah baginda, rasuah dan penyalahgunaan kuasa ini adalah gejala yang boleh merosakkan masyarakat serta menjatuhkan negara.

Related posts

Leave a Comment