KUANTAN 28 Julai – Kerajaan Pahang meminta semua pihak menghentikan serta merta penyalahgunaan lambang atau jata negeri itu sebelum tindakan diambil terhadap mereka.
Setiausaha kerajaan negeri, Dr Sallehuddin Ishak, berkata penyalahgunaan itu membabitkan di dalam media sosial seperti Facebook, Instagram dan WhatsApp serta penggunaan lambang di kenderaan dan lain-lain.
Menurutnya, Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017 [Enakmen No. 18 Tahun 2017] telah memperuntukkan larangan penggunaan tidak wajar lambang, gelaran atau anugerah Negeri Pahang.
“Ia termasuklah Jata Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Jata Diraja Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang dan Jata Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur, “katanya dalam kenyataan media.
Beliau berkata, mana-mana orang yang melanggar larangan penggunaan tidak wajar lambang negeri Pahang boleh didakwa dan dikenakan hukuman di bawah subseksyen 3(2) Enakmen No. 18 Tahun 2017.
“Apabila disabitkan, boleh didenda tidak kurang daripada RM250,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.
