Kluster rentas negeri jangkiti 68

PUTRAJAYA 27 Julai РKementerian Kesihatan (KKM) mengesan tiga kluster baharu disebabkan aktiviti rentas negeri yang sehingga kini menjangkiti 68 individu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Kluster pertama, Kluster Kampung Puteh dikesan di Machang, Kelantan di mana kes indeks adalah seorang lelaki warganegara berusia 38 tahun yang dilaporkan positif Covid-19 pada 21 Julai lalu hasil saringan kontak rapat.

Lelaki ini mempunyai sejarah merentas negeri ke Selangor pada 12 hingga 17 Julai lalu dan nama kluster ini merujuk kepada lokaliti di mana penularan kes dilaporkan berlaku berlaku iaitu di Kampung Hutan Puteh, Machang.

Sehingga kini seramai 40 individu sudah disaring dan daripada jumlah berkenaan 13 orang dijangkiti termasuk lima kes yang dikesan hari ini.

Sementara itu, bagi kluster kedua, Dr Noor Hisham berkata, ia dikenali sebagai Kluster Kampung Anak Ikan di Besut, Terengganu yang membabitkan kes indeks, seorang lelaki berusia 31 tahun.

Katanya, lelaki berkenaan mula mengalami gejala Covid-19 pada 17 Julai lalu.

Lelaki ini mempunyai sejarah merentas negeri ke Pahang pada 11 hingga 15 Julai lalu dan sehingga kini seramai 117 individu sudah disaring iaitu 29 daripadanya dijangkiti termasuk 11 kes baharu yang dilaporkan hari ini.

Satu lagi adalah Kluster Paya Keladan di Temerloh, Pahang, yang berpunca daripada seorang lelaki berusia 26 tahun yang dilaporkan positif Covid-19 pada 19 Julai lalu hasil saringan individu bergejala.

Kes mempunyai sejarah merentas negeri ke Kelantan pada 12 hingga 14 Julai lalu dan sehingga kini seramai 61 individu sudah disaring dan daripada jumlah itu 26 kes dijangkiti termasuk tiga kes baharu yang dikesan hari ini.

Mengulas mengenai kluster baharu hari ini, Dr Noor Hisham memaklumkan terdapat 42 kluster dikesan iaitu angka tertinggi setakat ini.

Beliau berkata, daripada jumlah kluster baharu yang dikesan itu, 25 kluster membabitkan tempat kerja, 12 dalam kalangan komuniti, masing-masing dua kluster pusat tahanan dan kumpulan berisiko.

Related posts

Leave a Comment