Semakan sekatan mulai Ogos

SINGAPURA 26 Julai – Langkah-langkah sekatan Covid-19 di Singapura akan dilonggarkan apabila kluster jangkitan Covid-19 dapat dikawal serta kadar kemasukan ke hospital kekal rendah.

Menteri Kewangan, Lawrence Wong berkata, kelonggaran itu akan berbeza-beza dan ditawarkan hanya kepada mereka yang sudah divaksinasi.

Dalam kenyataan di Parlimen, Wong yang juga pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian (MTF) yang menangani pandemik Covid-19, berkata, sekatan akan disemak semula pada Ogos.

Pihak berkuasa merancang untuk menyemak semula langkah-langkah itu pada titik pertengahan Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) yang bermula pada 22 Julai dan akan diteruskan sehingga 18 Ogos.

Wong berkata dalam menilai status jangkitan secara keseluruhan, ia termasuk melihat pada status kes berjangkit untuk mengesahkan bahawa dengan memberi vaksin, pesakit kurang perlu dimasukkan ke hospital.

Katanya yang penting, menjelang awal Ogos, dua pertiga penduduk Singapura sudah menerima dua dos vaksin termasuk sekitar tiga suku penduduk warga emas yang berusia 70 tahun dan ke atas.

“Pelonggaran langkah-langkah sekatan akan dibeza-bezakan dan ditawarkan kepada yang sudah divaksinasi, kerana mereka mempunyai perlindungan lebih baik terhadap kesan virus,” katanya.

Contohnya hanya individu yang sudah divaksinasi boleh menghadiri acara berskala besar atau acara keagamaan, makan di restoran atau bersenam di gimnasium.

Sekitar awal September pula, Pemerintah menjangkakan dapat terus melonggarkan sekatan Covid-19 apabila sekitar 80 peratus penduduk sudah menerima vaksin penuh, dengan kadar serupa bagi penduduk berusia 70 tahun dan ke atas.

Ini termasuk sekatan terhadap perhimpunan beramai-ramai dan melakukan perjalanan ke luar negara bagi mereka yang sudah divaksinasi.

“Kami juga akan mula membuka semula sempadan, terutama sekali bagi individu yang sudah divaksinasi untuk melakukan perjalanan ke luar negara.

“Kita akan mula menubuhkan koridor perjalanan dengan negara-negara atau wilayah yang dapat menangani Covid-19 dengan baik dan di mana keadaan jangkitan terkawal,” kata Wong.

Penduduk yang sudah divaksinasi boleh “melakukan perjalanan ke luar negara secara lebih bebas”, notis jangan keluar rumah (SHN) digantikan dengan ujian ketat atau notis pengasingan dipendekkan kepada tujuh hari  di rumah masing-masing.

Mereka yang belum divaksinasi masih boleh melakukan perjalanan ke luar negara tetapi tertakluk kepada syarat notis SHN sedia ada..

“MTF masih melakarkan perinciannya dan kami akan mengumumkan butiran lanjut apabila ia sudah siap kelak,” kata  Wong.

Related posts

Leave a Comment