49.7 peratus dalam kategori satu

PUTRAJAYA 26 Julai – Jumlah kes jangkitan Covid-19 menunjukkan sedikit penurunan iaitu 14,516 kes hari ini berbanding semalam apabila negara mencatatkan angka tertinggi dengan 17,045 pesakit baharu.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Malaysia meningkat kepada 1,027,954 kes.

Mengikut rekod, ini angka pertama 14,000 dicatatkan selepas jumlah tertinggi 13,215 pada 15 Julai dan 13,034 kes yang direkodkan pada 22 Julai terus melonjak ke angka 15,573 kes  pada 23 Julai

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, daripada kes yang dilaporkan hari ini, sebanyak 7,216 kes atau 49.7 peratus berada dalam kategori satu, iaitu tidak mempunyai gejala dan 95.6 peratus daripada mereka tidak divaksin.

Selain itu, 7,045 kes dalam kategori dua iaitu mempunyai gejala ringan. Daripada jumlah dalam kategori ini, 87.6 peratus tidak divaksin.

Sebanyak 83 kes berada dalam kategori tiga, iaitu mempunyai radang paru-paru dengan 67.5 peratus tidak mempunyai sejarah vaksinasi.

Bagi kategori empat, terdapat 77 kes yang dikesan iaitu mempunyai radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen. Pesakit dalam kategori ini 85.7 peratus tidak mempunyai sejarah vaksinasi.

Sebanyak 95 kes pula dalam kategori lima, iaitu kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan. Kes dalam kategori ini 97.9 peratus tidak mempunyai sejarah vaksinasi.

Mengenai 33 kluster baharu hari ini, Dr Noor Hisham berkata, 21 daripadanya kluster di tempat kerja, 10 dalam kalangan komuniti, manakala dua membabitkan institusi pendidikan.

Katanya, tujuh kluster dikesan di Selangor, masing-masing empat kluster di Selangor dan Kelantan, masing-masing tiga kluster di Kuala Lumpur dan Perak, manakala dua kluster masing-masing di Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Pahang dan Sarawak.

“Satu kluster masing-masing dikesan di Negeri Sembilan dan Terengganu,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga tengah hari semalam, terdapat 9,372 pesakit sembuh, menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih di negara ini 853,913 orang.

Related posts

Leave a Comment