Dr Dzulkefly tidak kecewa

SEPANG 4 Dis – Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad tidak kecewa walaupun tidak tersenarai menganggotai Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Bekas Menteri Kesihatan kerajaan Pakatan Harapan itu sebaliknya bertekad untuk melaksanakan reformasi sektor kesihatan.

“Salam semua. (Saya) tidak kecewa walaupun tak menganggotai Kabinet, asalkan saya dapat membantu melaksanakan reformasi (sektor) kesihatan,” katanya menerusi ciapannya di Twitter, malam tadi.

Menerusi ciapan sama, beliau turut berkongsi pesanan mesej diterima daripada bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menerusi aplikasi WhatsApp: “Berharap kepulangan anda, saya bersimpati Doc (Dr). Saya harap kita dapat bekerjasama untuk memastikan Menteri Kesihatan (baharu) melakukan perkara yang betul,”.

Beliau yang juga Pengarah Strategi Amanah membalas mesej itu: “Saya sentiasa optimis dan mengiyakan (harapan Khairy terhadap Menteri Kesihatan).

Dalam ciapan berasingan, Dr Dzulkefly turut mengucapkan tahniah kepada Dr Zaliha Mustafa susulan pelantikan beliau sebagai Menteri Kesihatan yang baharu.

“Tahniah YBMK @Zaliha_DrZ atas kepercayaan diberikan YAB PM-10 untuk mengemudi dan membangunankan sektor kesihatan di negara ini.

Semoga tabah dan komited mendepani cabaran meneruskan ‘Reformasi Kesihatan’ yang amat mencabar. Kami doakan kejayaan YBMK,” katanya.

Dr Zaliha adalah wanita pertama dilantik sebagai Menteri Kesihatan dan antara dua pemimpin wanita PKR yang dipilih menganggotai barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Ahli Parlimen Sekijang di Johor ini dilahirkan pada 16 Jun 1964 di Johor dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Perempuan Sultan Ibrahim (TIGS) sebelum meneruskan pengajian di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Bharu pada 1981.

Pada 1982, beliau menyambung pengajian di Matrikulasi MRSM Seremban dan seterusnya ke Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1983.

Dr Zaliha memulakan kerjaya dalam bidang perubatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru sebagai doktor siswazah pada 1989.

Beliau kemudian menjadi doktor perubatan di Hospital Daerah Pekan pada 1990 dan Hospital Taiping pada 1991 sebelum menyertai sektor swasta sebagai doktor di Poliklinik Penawar pada 1993.

Dr Zaliha mula aktif dalam bidang poltik pada 1999 sebagai Ketua Wanita PKR Johor dan enam tahun kemudian dilantik sebagai Pengerusi PKR negeri berkenaan sebelum menjawat jawatan Naib Ketua Wanita PKR pada 2007.

Beliau kemudian dipilih sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR pada 2018 dan dua tahun kemudian, dilantik sebagai Pengerusi Biro Strategi, Dasar dan Latihan PKR.

Dr Zaliha yang pernah menjadi Setiausaha Politik Dr Wan Azizah Ismail, dikurniakan empat cahaya mata hasil perkongsian hidup dengan suaminya, Dr Ahmad Azlan.

Related posts

Leave a Comment