JEMPOL 31 Julai – Kestabilan politik hendaklah diwujudkan di Negeri Sembilan selepas Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) esok walau siapa pun yang diperkenankan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan hanya kestabilan mampu menjadikan negeri itu maju seperti dibuktikan parti berkenaan di Johor.
“Sebagaimana yang berlaku di Johor, apa pun analisis dibuat sama ada BN atau Pakatan Harapan (PH) mana-mana gabungan akan membentuk kerajaan.
“Kestabilan politik di Negeri Sembilan perlu diwujudkan. Siapa-siapa sahaja mendapat perkenan Tuanku mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar…mesti dapat sokongan semua. Kita tidak mahu rumah siap, pahat berbunyi,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang media selepas Sesi Ramah Mesra Bersama Timbalan Perdana Menteri di Dewan Terbuka Kampung Taman Jaya, Bahau di sini, hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid meluangkan masa menyantuni masyarakat Orang Asli di Kampung Batu Peti, DUN Jeram Padang.
Kehadirannya bagi membantu kempen calon BN Jeram Padang Mohd. Zaidy Abdul Kadir yang akan mempertahankan kerusi itu dan calon Bahau Chong Fui Ming yang mencabar penyandang Teo Kok Seong (PH) dalam pertandingan satu lawan satu.
Pada PRU DN Johor bulan lalu, BN berjaya membentuk kerajaan semula selepas memenangi 48 daripada 56 kerusi dipertandingkan.
Ahmad Zahid berkata BN komited menjadikan Negeri Sembilan negeri maju sekiranya parti itu diberi mandat menerajui kerajaan negeri kali ini.
“Kita nak Negeri Sembilan muncul negeri maju…memberikan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda dan meningkatkan kuasa beli di Negeri Sembilan. Kita juga mahu kestabilan politik di Negeri Sembilan diwujudkan selepas keputusan pilihan raya.
“Mandat daripada rakyat diberikan secara rasminya mana-mana parti gabungan yang akan bentuk kerajaan. Yang penting ialah kita harus lihat apa berlaku di negeri ini dan peringkat nasional adalah berbeza,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, peratusan keluar mengundi yang tinggi esok akan menjadi ‘game changer’ bagi BN, berdasarkan sasaran peratusan keluar mengundi dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang melebihi 71 peratus dan undi awal 91.1 peratus.
“Jika trend ini dapat dipertahankan atau dalam lingkungan menghampiri pengundian awal, ini adalah sesuatu yang harus diterima baik sebagai ‘game changer’ untuk diterjemahkan di Negeri Sembilan. Saya harap ia berlaku,” katanya.
Menyentuh potensi kemenangan BN dan Perikatan Nasional (PN) yang dikeluarkan oleh Ilham Centre, Ahmad Zahid menyifatkan ia hanya berdasarkan analisis.
“Ia dibuat berdasarkan data yang dikumpul melalui responden dalam jumlah yang kecil.Kita lihat esok bagaimana apabila 100 peratus data itu dianalisis dengan mengira jumlah mengikut saluran dan peti undi, maka itu yang sah. Kita lihat esok,” katanya.
Ilham Centre meramalkan kerjasama gabungan BN dan PN memenangi PRN Negeri Sembilan esok dengan menguasai 22 daripada 36 DUN.
Keputusan itu akan membolehkan dua gabungan berkenaan memperoleh majoriti mudah membentuk kerajaan negeri baharu, walaupun belum mencapai majoriti dua pertiga, 24 kerusi.
Nnnnnn
