Ramai lagi langgar SOP

KUALA LUMPUR 25 Julai  – Hampir 500 individu dan 50 premis didapati melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) semalam, kata Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, seramai 482 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar SOP, dengan 457 individu dikompaun, manakala 11 lagi direman dan 14 dijamin.

Katanya, sebanyak 49 premis merangkumi kilang, perniagaan dan tapak pembinaan diarah tutup semalam kerana melanggar SOP kawalan penularan Covid-19.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, tangkapan dan arahan tutup hasil pemantauan Pasukan Petugas Operasi Pematuhan yang melaksanakan 82,249 pemeriksaan dan ‘snap check’ Covid-19 di seluruh negara oleh 18,934 anggota.

“Semalam, Pasukan Petugas Operasi Pematuhan melaksanakan 82,249 pemeriksaan dan ‘snap check’, termasuk pemeriksaan ke atas 1,300 kilang, 14,025 premis perniagaan, 360 tapak pembinaan dan 173 asrama pekerja,” katanya.

Ismail Sabri juga memberitahu , Operasi Benteng yang dilaksanakan semalam memberkas lapan pendatang asing tanpa izin (PATI), serta merampas dua kenderaan darat.

Mengenai saringan wajib pekerja asing, beliau berkata, seramai 99 warga asing menjalani ujian saringan semalam, dan 23 daripadanya didapati positif Covid-19.

Secara keseluruhan, Kementerian Sumber Manusia memaklumkan seramai 701,391 pekerja warga asing sudah menjalani ujian saringan Covid-19 yang membabitkan 36,474 majikan.

Daripada jumlah itu, seramai 10,488 orang disahkan positif Covid-19.

Related posts

Leave a Comment