Dua rekod pandemik Covid-19 negara

PUTRAJAYA 25 Julai – Dua rekod baharu Covid-19 hari ini – jumlah kes harian tertinggi dan jumlah keseluruhan yang mencecah satu juta kes.

Jumlah kes harian yang direkodkan hari ini adalah sebanyak 17,045, satu lonjakan jika di bandingkan dengan 15,092 kes semalam.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada satu juta atau lebih tepat 1,013,438 kes dengan kes aktif 160,903.

Daripada 17,039 kes tempatan, sebanyak 13,169 melibatkan warganegara (77.3%) dan 3,870 bukan warganegara (22.7%) manakala enam kes import melibatkan empat warganegara dan dua bukan warganegara.

Seramai 92 pesakit Covid-19 meninggal dunia hari ini, iaitu 90 warganegara Malaysia, manakala dua lagi warga asing.

Jumlah itu berkurangan berbanding semalam yang mencatat 184 kematian dengan 157 warganegara dan 27 warga asing.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata bagi kes kematian hari ini, 27 kes dilaporkan di Selangor, Johor (23), Kuala Lumpur (12), Negeri Sembilan (11), Melaka (lima), Kedah (empat), Pahang (tiga), masing-masing dua kes di Sabah dan Sarawak, manakala satu kes masing-masing di Perak, Terengganu dan Labuan.

Beliau berkata, hari ini terdapat 34 kluster baharu iaitu 18 kluster membabitkan tempat kerja, 15 dalam kalangan komuniti serta satu dalam kumpulan berisiko tinggi.

Sehingga pukul 12 tengah hari ini terdapat 9,683 kes sembuh dilaporkan menjadikan angka kes pulih sepenuhnya daripada Covid-19 ialah 844,541 kes.

Di samping itu, 970 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 501 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Related posts

Leave a Comment