Warga emas jangan berlengah lagi !

SINGAPURA 24 Julai – “Jangan berlengah lagi !” Itu pesanan Perdana Menteri Lee Hsien Loong ketika bercakap dalam satu video yang menggesa warga emas supaya mendapatkan segera vaksin Covid-19..

Beliau mengingatkan bahawa Covid-19 adalah penyakit berbahaya kepada golongan warga emas, terutama sekali mereka yang menghidap masalah-masalah perubatan seperti kencing manis atau tekanan darah tinggi.

“Walaupun anda tidak kerap keluar rumah, anda masih boleh dijangkiti melalui teman-teman atau keluarga anda.

“Vaksin ini akan melindungi anda daripada Covid-19. Jangan bimbang, ia sangat selamat,” katanya.

Dalam catatan Facebook hari ini yang disertakan dengan video ucapannya itu, Lee menyatakan pemerintah sedang “cuba sedaya upaya untuk mendampingi 200,000 warga emas yang berusia 60 tahun dan ke atas yang belum lagi divaksinasi”.

Bagi memudahkan golongan itu, warga emas boleh mengunjungi mana-mana poliklinik atau pusat vaksinasi untuk mendapatkan vaksin tanpa perlu berdaftar atau membuat janji temu dan pasukan vaksinasi bergerak juga boleh ke rumah golongan warga emas yang berdepan kesukaran untuk keluar.

“Jangan tunggu hingga sudah lewat. Kebanyakan daripada mereka dalam lingkungan usia anda sudah mendapatkan vaksin, termasuk ramai teman-teman dan jiran tetangga anda.

“Lindungi diri anda dan keluarga anda juga,” katanya.

Menjawab tentang potensi kesan-kesan sampingan daripada pengambilan vaksin Covid-19, beliau berkata “kebanyakannya tidak serius”.

“Anda mungkin berasa kurang sihat sehari dua, namun anda akan okay,” katanya. “Tubuh badan anda sedang membangunkan daya tahan terhadap Covid-19.”

Menurut Lee: “Saya sudah mengambil vaksin. Tolong ambil suntikan vaksin anda. Jangan tangguh. Bersama, kita akan selamat daripada Covid-19.”

Related posts

Leave a Comment