Lima kit ujian kendiri boleh dijual

PUTRAJAYA 24 Julai – Lima kit ujian kendiri Covid-19 termasuk tiga yang terbaru mendapat kelulusan bersyarat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), kini boleh dijual untuk kegunaan awam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiga kit ujian itu dikilangkan di China, satu di Korea dan satu di Malaysia, yang kini  boleh diimport dan diedarkan dalam negara.

Berdasarkan infografik dimuat naik di Facebook Dr Noor Hisham, kit ujian kendiri terbaru itu adalah BERIGHT-COVID-19 Antigen Rapid Test Device (Oral Fluid) oleh syarikat Medinics (M) Sdn Bhd yang dikilangkan oleh Hangzhou AllTest Biotech Co Ltd di Hangzhou, China.

Dua kit lagi ialah ALLTest COVID-19 Antigen Rapid Test (Oral Fluid) oleh Global Science Sdn Bhd, dan JusChek COVID-19 Antigen Rapid Test (Oral Fluid) oleh Neopharma Biotech Asia Sdn Bhd, dengan kedua-duanya dikilangkan oleh Hangzhou AllTest Biotech Co Ltd di Zheijang, China.

Tiga kit ujian baharu itu menggunakan sampel saliva atau air liur untuk melaksanakan saringan Covid-19.

Pada 18 Julai lalu, KKM mengumumkan dua kit ujian kendiri yang mendapat kelulusan bersyarat, iaitu Salixium COVID-19 Rapid Antigen Rapid Test yang dibuat Reszon Diagnostic International Sdn Bhd Malaysia dan Gmate COVID-19 Ag Saliva For Home Use oleh Philosys Co Ltd, Korea.

Kit ujian Gmate COVID-19 Ag Saliva For Home Use menggunakan sampel saliva untuk saringan COVID-19, manakala Salixium COVID-19 Rapid Antigen Rapid Test boleh menggunakan saliva atau calitan hidung.

Related posts

Leave a Comment