PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menolak rayuan 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah untuk menggantung keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Panel tiga hakim diketuai Abdul Karim Abdul Jalil membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada pihak Musa Aman, Mohd Shafie Apdal dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Istana Kehakiman di sini petang ini, 8 September.
Keputusan sebulat suara tiga panel hakim yang turut disertai Abu Bakar Jais dan Supang Lian sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 21 Ogos lalu.
Abdul Karim ketika membaca keputusan menegaskan Mahkamah Rayuan tidak akan mencampuri keputusan Mahkamah Tinggi dan mengekalkan keputusan yang dibuat sebelum ini.
Berdasarkan kepada keputusan tersebut, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijadualkan bermula pada Sabtu ini (penamaan calon) akan berlangsung seperti biasa mengikut pengumuman SPR sebelum ini.
Dalam pada itu, Musa yang ditemui selepas prosiding selesai enggan mengulas lanjut berhubung keputusan itu dan hanya berkata beliau akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.
Pada 21 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menolak kes semakan kehakiman berhubung 33 wakil rakyat yang mencabar pembubaran DUN Sabah.
Pesuruhjaya Kehakiman, Leonard David Shim menolak permohonan 33 ADUN berkenaan menetapkan bahawa responden kedua dalam kes itu, Mohd Shafie telah bertindak menurut Perlembagaan Sabah dalam memohon responden pertama,
Yang Dipertua Negeri Sabah, Juhar Mahiruddin pada 30 Julai lepas membubarkan DUN.
Menurutnya, pengisytiharan pembubaran DUN itu juga adalah mengikut Perlembagaan dan sah.
Susulan pembubaran DUN, SPR menetapkan 12 September sebagai tarikh penamaan calon dan 26 September sebagai tarikh pengundian bagi PRN Sabah.