Kes harian Thailand lepasi 13,000

BANGKOK 21 Julai – Rekod baharu dicatatkan hari ini apabila Thailand merekodkan 13,002 kes jangkitan Covid-19 dengan 108 kematian menjadikan jumlah keseluruhan kes 439,477 dan 3,610 kematian.

Daripada jumlah kes baharu itu, 11,953 melibatkan masyarakat awam termasuk 31 kes import dan 1,049 lagi adalah banduan penjara.

Sejak gelombang ketiga bermula 1 April lalu, sebanyak 410,614 pesakit Covid-19 direkodkan dan 277,030 dilaporkan sembuh manakala kematian bagi tempoh itu 3,516 orang

Dan perangkaan sejak pandemik bermula pula menunjukkan 439,477 kes dengan kes sembuh 304,456 dan kematian pula 3,610.

Hari ini 8,248 pesakit dilaporkan sembuh sementara 131,411 masih mendapatkan rawatan.

Bangkok mendahului dengan merekodkan 2,921 kes diikuti Samut Sakhon 932, Nonthaburi 661, Samut Prakan 656 dan Chonburi 636.

Berikutan peningkatan kes juga, Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 mengumumkan beberapa penutupun aktiviti perniagaan dan tempat awam di 13 wilayah selama 14 hari mulai semalam.

Ia termasuk pusat hiburan, rumah urut, pusat boling, snooker, panggung wayang, taman permainan kanak-kanak, taman tema, zoo, muzium, kolam renang, kelab kecergasan dan taman awam.

Sementara itu Pihak Berkuasa Penerbangan Awam juga mengumumkan semua penerbangan domestik antara Bangkok dengan 12 wilayah digantung mulai hari ini.

Ia meliputi  Chachoengsao, Chon Buri, Nakhon Pathom, Nonthaburi, Narathiwat, Pathum Thani, Pattani, Ayutthaya, Yala, Songkhla, Samut Prakan and Samut Sakhon.

Related posts

Leave a Comment