Lima kes import di Thailand

THAILAND mengumumkan lima kes baharu Covid-19, semuanya melibatkan kes import yang melibatkan mereka yang baru kembali dari luar negara, iaitu Amerika Syarikat (AS), Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Singapura.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), mereka dikuarantin sejurus tiba di Thailand. Dengan perkembangan ini, jumlah keseluruhan kes 3,232.

Kes import itu melibatkan seorang wanita berusia 48 tahun yang tiba dari AS pada 11 Julai; dua lagi lelaki berusia 43 dan 49 tahun yang tiba dari Singapura pada 13 Julai sementara dua lagi, lelaki berusia 27 dan wanita, 35 yang pulang dari UAE pada 2 Julai.

CCSA juga melaporkan satu kes pulih menjadikan 3,092 atau 95.67 peratus daripada jumlah keseluruhan kes manakala 82 masih dirawat.

Tiada kematian baharu hari ini menjadikan jumlah kematian kekal 58.

Sementara itu, Thailand memanggil Duta Mesir,  Laila Ahmed Bahaaeldin, selepas anggota tentera negara itu dilaporkan gagal mematuhi langkah-langkah pencegahan Covid-19.

Kementerian Luar Thailand berkata Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Asia Selatan, Timur Tengah dan Afrika, Dusit Manapan bertemu Laila Ahmed di kementerian itu semalam.

Dusit memaklumkan mengenai keputusan CCSA yang menolak permohonan empat penerbangan tentera Mesir pada 17 dan 25 Julai. Ia berikutan kebimbangan Thailand terhadap kejadian seorang tentera Mesir  meninggalkan hotel, tempat beliau sepatutnya menjalani kuarantin kendiri dan kemudian diuji positif Covid-19.

Pada Isnin, CCSA berkata tentera berusia 45 tahun diuji positif ketika transit di lapangan terbang Rayong U-Tapao dari 8 hingga 11 Julai.

Penerbangan dengan 31 anak kapal itu tiba di Rayong pada 8 Julai dan berangkat ke Chengdu, China keesokan hari dan kembali semula pada hari sama.

Media tempatan melaporkan kumpulan itu keluar dari hotel untuk ke dua pusat beli-belah pada 10 Julai, menyebabkan ratusan penduduk terpaksa menjalani kuarantin di rumah. 

Semalam, Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha, merangkap ketua CCSA, menyifatkan kejadian itu tidak sepatutnya berlaku dan memohon maaf kepada rakyat Thailand.

Related posts

Leave a Comment