Usir warga asing langgar SOP

PUTRAJAYA 20 Julai – Usir mereka. Itu arahan kepada Jabatan Imigresen (Imigresen) jika ada warga asing terbabit melanggar prosedur operasi standard (SOP) solat sunat Aidiladha di Juru, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang pagi ini.

Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin, yang mengeluarkan arahan itu memberi jaminan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati terbabit menganjurkan majlis berkenaan.

Dalam kenyataannya, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah sudah pun memulakan siasatan.

Selain itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Mohd Shuhaily Mohd Zain diminta memberikan laporan serta penjelasan terperinci berhubung penugasan anggotanya yang dipertanggungjawab memantau pematuhan SOP ketika perayaan Aidiladha tahun ini.

Sementara siasatan dimuktamadkan, KDN menyeru orang awam untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama dan perkauman yang boleh mendatangkan ketidaktenteraman awam.

Sebelum ini, Mohd Shuhaily dilaporkan berkata siasatan awal mendapati warga asing berkenaan berbuat demikian selepas mereka tidak dibenarkan solat di dalam surau memandangkan jumlah jemaah dihadkan hanya 100 orang.

Katanya, surau berkenaan dibanjiri jemaah untuk datang menunaikan solat sunat Aidiladha namun hanya 100 orang sahaja yang dibenarkan masuk bagi mematuhi SOP ditetapkan.

Terdahulu, tular video berdurasi 22 saat memaparkan ratusan warga asing menunaikan solat sunat Aidiladha di jalan raya di luar pekarangan surau berkenaan yang dirakamkan orang awam yang melalui kawasan terbabit.

Related posts

Leave a Comment