Lagi lokaliti dikenakan PKPD

KUALA LUMPUR 20 Julai – Sembilan lokaliti di Sarawak dan Sabah akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari mulai Khamis ini bagi mengawal penularan Covid-19 di kawasan itu.

Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, selain itu, PKPD di lima kampung di Sabah akan dilanjutkan selama 14 hari, manakala satu PKPD di dua kampung Orang Asli di Pahang, akan ditamatkan esok.

Di Sarawak melibatkan Kampung Bintawa Hilir dan Kampung Sungai Tapang di Kuching, Sarawak.

PKPD  di Kota Kinabalu, Sabah pula adalah Kilang Papan Lusera Telipok, Kampung Mogiding Malawa dan Kuarters Pekerja Progressif Perwira, Kampung Sinulihan dan Kondominium University Utama Fasa 2.

Turut dikenakan PKPD adalah Kampung Guruh-Guruh di Sipitang dan Kampung Air serta Kampung Bokara di Sandakan, Sabah.

Semua sembilan PKPD itu dijadualkan berakhir pada 8 Ogos depan, manakala prosedur operasi standard (SOP) bagi semua PKPD berkenaan adalah sama seperti diumumkan sebelum ini.

Sementara itu, lima PKPD di Sabah yang dilanjutkan bermula esok ialah Kampung Sri Menanti di Tawau, selain empat perkampungan Kepulauan Gaya di Kota Kinabalu iaitu Kampung Pondo, Kampung Kasuapan, Kampung Lok Urai dan Kampung Pulau Gaya.

Related posts

Leave a Comment