Tiada kunjung mengunjung Aidiladha

KOTA KINABALU 17 Julai – Sabah tidak membenarkan aktiviti rumah terbuka, jamuan, kunjung-mengunjung serta ziarah tanah perkuburan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha minggu depan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Masidi Manjun berkata keputusan pindaan prosedur operasi standard (SOP) ini dibuat bagi membendung penularan dan peningkatan kes COVID-19 di negeri ini.

Bilangan jemaah di masjid dan surau untuk solat sunat Aidiladha, solat Jumaat dan solat lima waktu dikurangkan kepada satu pertiga kapasiti ruang atau maksima 30 orang jemaah, yang mana lebih rendah.

Dalam kenyataan media hari ini, beliau berkata, bilangan pengendali sembelihan binatang korban juga dikurangkan kepada 15 orang sahaja.

Bagi lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), semua aktiviti perayaan Aidiladha di lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak dibenarkan.

Hari ini Sabah merekodkan 647 kes positif baharu telah dilaporkan dengan satu kes kematian dikesan dari daerah Lahad Datu.

Peningkatan mendadak ini adalah hasil saringan besar-besaran yang sedang dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri dalam usaha membendung penularan dalam komuniti.

Related posts

Leave a Comment