PUTRAJAYA 17 Julai – Sebanyak 12 lagi lokaliti di empat negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 19 Julai hingga 1 Ogos ini.
Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, berkata lokaliti yang dilaksanakan PKPD itu membabitkan Sabah, Sarawak, Pahang dan Negeri Sembilan.
Kerajaan turut memutuskan melaksanakan PKPD di dua lokaliti di Pahang iaitu di Pos Iskandar, Bera dan Kuala Medang, Lipis.
Lokaliti di Sabah pula ialah Apartmen Seri Maju, Kota Kinabalu; Kampung Tinusa 2, Sandakan dan dua lokaliti di Tawau iaitu QL Farm Breeder, Jalan Stesen TV dan Kuarters Pekerja Onika Kuari.
PKPD di Negeri Sembilan membabitkan empat lokaliti iaitu Taman Chembong Utama, Taman Chembong Jaya dan Taman Setia Raja di Mukim Chembong serta Taman KSNS di Mukim Pedas dalam daerah Rembau.
Dalam kenyataan yang sama, Ismail Sabri turut mengumumkan pelanjutan PKPD di enam lokaliti di tiga buah negeri.
Lokaliti terbabit membabitkan tiga lokaliti di Kuala Muda, Kedah, satu lokaliti di Beaufort dan Kota Marudu di Sabah serta satu lokaliti di Pasir Puteh di Kelantan.
Katanya, kesemua enam lokaliti ini sepatutnya tamat PKPD pada 18 Julai namun ia dilanjutkan bermula 19 Julai sehingga 1 Ogos ini.