Wabak Ebola meningkat mendadak

KINSHASA – Krisis kesihatan di Republik Demokratik Congo (DRC) semakin membimbangkan apabila wabak Ebola yang menular sejak Mei lalu terus menunjukkan peningkatan mendadak, dengan kematian melepasi 1,300 orang.

Data terkini kerajaan menunjukkan hampir 3,000 kes jangkitan telah direkodkan setakat minggu ini, sekali gus menjadikan wabak berkenaan antara penularan Ebola paling pantas dalam sejarah.

Pakar kesihatan memberi amaran, situasi di negara Afrika Tengah itu semakin sukar dikawal kerana wabak berkenaan melibatkan strain Bundibugyo, varian Ebola yang jarang ditemui dan masih belum mempunyai vaksin atau rawatan diluluskan.

Keadaan bertambah rumit apabila penularan berlaku di kawasan timur DRC yang bergolak akibat konflik bersenjata, sekali gus menyukarkan pasukan perubatan memasuki komuniti terjejas bagi mengesan dan mengasingkan pesakit.

Bekas tokoh kesihatan awam Afrika, Abdulsalami Nasidi, berkata ketiadaan vaksin yang berkesan menyebabkan virus itu merebak dengan pantas dalam kalangan penduduk.

Susulan peningkatan kes yang membimbangkan, beberapa institusi penyelidikan antarabangsa sedang mempercepatkan usaha membangunkan vaksin khusus bagi menentang varian Bundibugyo.

Universiti Oxford dilaporkan telah memulakan ujian awal vaksin eksperimen ke atas sukarelawan sebagai sebahagian daripada usaha mencari kaedah kawalan yang lebih berkesan.

Sistem kesihatan DRC turut berdepan tekanan hebat apabila semakin ramai petugas perubatan dijangkiti di mana lebih 100 pekerja kesihatan dilaporkan positif Ebola sejak wabak itu dikesan, manakala puluhan lagi meninggal dunia.

Kekurangan peralatan perlindungan, masalah pembiayaan dan ketidakpercayaan sebahagian penduduk terhadap pihak berkuasa kesihatan terus menghalang usaha membendung penularan penyakit itu.

Di wilayah Ituri yang menjadi pusat utama wabak, sejumlah kakitangan pusat rawatan Ebola mengambil tindakan mogok kerana mendakwa elaun dan bayaran tertunggak masih belum diselesaikan.

Perkembangan itu menimbulkan kebimbangan kerana gangguan operasi pusat rawatan boleh menjejaskan usaha menyelamatkan pesakit.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula percaya jumlah sebenar jangkitan mungkin jauh lebih tinggi daripada angka rasmi kerana pasukan kesihatan tidak dapat memasuki semua kawasan terjejas akibat faktor keselamatan.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, menggesa semua pihak yang terlibat dalam konflik di timur DRC mempertimbangkan gencatan senjata bagi membolehkan bantuan kesihatan disalurkan dengan lebih berkesan.

Menurut beliau, tanpa akses yang mencukupi kepada komuniti terjejas, risiko penularan ke wilayah lain akan terus meningkat dan berpotensi mencetuskan krisis kesihatan yang lebih besar di rantau tersebut.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment