HYDERABAD – Susulan protes yang diterajui golongan belia berhubung kebocoran kertas peperiksaan serta tuntutan supaya reformasi pendidikan dilaksanakan, Menteri Pendidikan India, Dharmendra Pradhan mengumumkan peletakan jawatan.
Pradhan mengumumkan peletakan jawatannya dalam kenyataan dimuat naik di platform X, petang semalam dan menyatakan, surat peletakan jawatan itu telah dikemukakan kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi.
“Mengambil kira situasi di Jantar Mantar dan kawasan lain di negara ini, selain bagi memastikan anasir antinasional tidak mengambil kesempatan, perpaduan negara terus terpelihara, masa depan pelajar tidak terjejas akibat kerumitan undang-undang, dan anak-anak kita dapat memberi tumpuan kepada pelajaran serta membina kerjaya, saya telah mengemukakan peletakan jawatan kepada Perdana Menteri,” kata Pradhan.
Sementara itu, susulan rundingan dengan kerajaan, Cockroach Janta Party (CJP) yang mengetuai protes berkenaan mengumumkan penamatan gerakan terbabit selepas semua tuntutannya diterima.
“Kami menarik balik gerakan ini dengan niat baik, dengan pemahaman bahawa perkara dipersetujui akan dilaksanakan dalam tempoh masa yang telah dipersetujui,” kata ketua jurucakap parti itu, Saurav Das.
Sebelum ini, media melaporkan ribuan orang berkhemah di New Delhi bagi menuntut reformasi sistem pendidikan India susulan kebocoran kertas peperiksaan kemasukan perubatan peringkat kebangsaan pada Mei lalu.
