Selangor, KL dalam Fasa 1 PPN

PUTRAJAYA 17 Julai – Selangor dan Kuala Lumpur kekal dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua negeri berkenaan sudah ditamatkan.

Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, sebelum beralih ke Fasa 2, nilai ambang tiga indikator utama perlu dicapai.

Katanya, nilai ambang vaksinasi 10 peratus populasi dewasa sudah dicapai tetapi kes masih tinggi manakala tahap penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) masih kritikal.

Pada Jumaat, kerajaan mengumumkan penamatan PKPD di 34 mukim di Selangor dan 14 lokaliti di ibu negara bermula tengah malam tadi selepas dilaksanakan bermula 3 Julai lalu hingga semalam.

Selain itu, Ismail Sabri juga memaklumkan, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pengusaha sektor ekonomi terutamanya kilang-kilang yang tidak mematuhi SOP atau mengingkari arahan kerajaan.

Tegas beliau, Op Patuh di bawah Kementerian Dalam Negeri akan dipergiatkan lagi bagi memastikan pematuhan tinggi oleh premis perniagaan dan kilang.

Op Patuh yang dilaksanakan juga bertujuan meningkatkan kesedaran majikan dalam memastikan keselamatan dan kebajikan pekerja sentiasa dijaga serta terpelihara sekiranya diberi kebenaran beroperasi oleh kerajaan.

Ismail Sabri juga meminta pekerja melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya majikan mengambil tindakan beroperasi tanpa kebenaran atau tidak menyediakan tempat kerja yang mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Related posts

Leave a Comment