MRT Putrajaya buka sepenuhnya Januari 2023

KUALA LUMPUR 16 Jun – Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya  dijangka dibuka sepenuhnya Januari tahun depan, kata Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Pembukaan itu dijangka mencatat bilangan awal penumpang harian melebihi 104,000 orang.

Perdana Menteri, berharap, dengan adanya kemudahan infrastruktur itu, ia dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur.

MRT Laluan Putrajaya yang dibangunkan dalam dua fasa, menyediakan perkhidmatan kepada lebih kurang dua juta penduduk di koridor bermula dari kawasan Kwasa Damansara ke Putrajaya.

MRT Laluan Fasa Satu melibatkan perjalanan dari Kwasa Damansara hingga Kampung Batu manakala Laluan Fasa Dua yang kini hampir siap sepenuhnya, melibatkan laluan dari Kampung Batu ke Putrajaya.

Laluan Fasa Dua akan melalui kawasan strategik termasuk Pusat Bandar Kuala Lumpur dengan stesen bawah tanah seperti Titiwangsa, Hospital Kuala Lumpur, Ampang Park, Persiaran KLCC dan Tun Razak Exchange (TRX).

MRT Laluan Putrajaya sepanjang 57.7 kilometer ini mempunyai 36 buah stesen terdiri daripada 27 buah stesen bertingkat dan sembilan buah stesen bawah tanah. Jumlah keseluruhan bagi pembinaan jajaran ini adalah sebanyak RM30.53 bilion.

Berucap merasmikan Pelancaran MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu di Stesen MRT Kg Batu, di sini hari ini, Perdana Menteri berkata, MRT juga dalam perancangan untuk menambah empat lagi stesen baharu pada masa akan datang agar akses kepada pengangkutan awam dapat terus ditingkatkan.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata sektor pengangkutan merupakan pemacu pertumbuhan negara dan penyediaan sistem pengangkutan yang berkualiti amat penting bagi mencapai aspirasi negara maju.

Negara maju, ujar beliau bukan hanya mencatat pertumbuhan ekonomi yang kukuh, malah turut memiliki perkhidmatan dan rangkaian pengangkutan yang efisien bagi meningkatkan gaya hidup rakyatnya.

“Selaras dengan teras Dasar Pengangkutan Negara, sememangnya menjadi hasrat utama Kerajaan untuk menyediakan sistem pengangkutan awam yang selamat, cekap, mampan dan boleh dipercayai, bagi Keluarga Malaysia.

“Penyediaan pengangkutan awam juga akan dipertingkatkan supaya Keluarga Malaysia menikmati akses lebih baik kepada perkhidmatan dan ketersambungan yang lancar seperti dirancang dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12),” katanya.

Related posts

Leave a Comment