‘Jangan terkorban dek Covid-19’

PUTRAJAYA 17 Julai – “Jangan pula dalam keseronokan menyambut Hari Raya Korban menyebabkan kita sama-sama ‘terkorban’ dek kerana Covid-19.”

itu ingatan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah kepada masyarakat  bahawa larangan rentas daerah dan negeri masih lagi berkuatkuasa.

Begitu juga larangan kunjung-mengunjung bagi menyambut perayaan.

Dalam kenyataannya, beliau menasihatkan rakyat Malaysia supaya tidak merentas daerah dan negeri semasa sambutan Hari Raya Aidiladha pada 20 Julai ini.

Katanya, semua orang harus mengambil iktibar dengan insiden sebelum ini yang menyebabkan penularan kes dan kluster dalam komuniti.

Menurutnya, bermula 1 Jun 2021 iaitu sejak permulaan pelaksanaan ‘total lockdown’ sehingga data terkini 16 Julai 2021, sebanyak 267 kluster komuniti dengan jumlah 17,106 kes positif Covid-19 telah dilaporkan.

Daripada jumlah 17,106 kes tersebut, 105 kematian telah dilaporkan sehingga kini dan 42 kes sedang mendapatkan rawatan di unit rawatan rapi (ICU).

“Kluster-kluster komuniti ini tercetus susulan sambutan majlis perayaan yang lalu (Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai), aktiviti kunjung-mengunjung di kawasan kejiranan atau kampung, perjumpaan antara ahli keluarga dari rumah-rumah yang berlainan serta majlis pengebumian.

“Beberapa kluster komuniti ini turut melibatkan aktiviti rentas negeri bagi tujuan yang disebutkan di atas,” katanya.

Kementerian Kesihatan khuatir dengan 21 kluster yang didapati tercetus akibat aktiviti merentas negeri.

“Dalam tempoh 1 Jun 2021 sehingga 16 Julai 2021 sahaja, sebanyak 1,010 kes positif COVID-19 telah dilaporkan dalam 21 kluster ini, iaitu daripada 5,681 individu yang disaring (kadar positiviti 17.8 peratus).

“Kluster-kluster ini didapati melibatkan aktiviti rentas negeri bagi tujuan sambutan perayaan, mengunjungi ahli keluarga, menghadiri majlis pengebumian serta atas urusan kerja,” ujarnya.

Tegasnya, negeri yang melaporkan jumlah kluster rentas negeri tertinggi sejak 1 Jun 2021 adalah Perak dengan lapan kluster (38.1 peratus), Terengganu dengan lima kluster (23.8 peratus) serta Kelantan dengan tiga kluster (14.3 peratus).

Related posts

Leave a Comment