Korban tangguh, solat Aidiladha dihad

SEREMBAN 14 Julai – Pelaksanaan ibadah korban sempena Aidiladha di seluruh Negeri Sembilan tahun ini ditangguhkan berikutan penyebaran virus Covid-19 di negeri itu amat tinggi sehingga boleh mewujudkan kemudaratan yang tidak terkawal.

Mufti Negeri Sembilan, Mohd Yusof Ahmad, dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan perkara itu sudah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Katanya, perkara itu juga turut dikemukakan kepada Datuk Undang Yang Empat serta Tunku Besar Tampin.

Mengenai solat sunat Aidiladha, beliau berkata ia dibenarkan hanya membabitkan 12 orang ahli jemaah yang terdiri daripada pegawai dan jawatankuasa masjid atau surau Jumaat seperti sedang dilaksanakan.

Beliau berkata, solat sunat Aidiladha bagi daerah atau lokaliti yang diisytiharkan sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak dibenarkan.

“Ketetapan sedemikian perlu diambil sebagai menyahut nasihat kerajaan agar semua bentuk aktiviti berkumpulan dikawal bagi mengekang penularan Covid-19 ini,” katanya.

Mohd Yusof berkata, Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan (JMNS) mengambil maklum bahawa ramai umat Islam yang berhasrat untuk mengerjakan ibadah korban dan amat menghargai peningkatan kesedaran dalam kalangan masyarakat Islam di negeri ini terhadap ibadah berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, situasi semasa membataskan pelbagai aktiviti yang sering dilakukan dalam kalangan masyarakat, tambahan pula penularan Covid-19 semakin meruncing di Negeri Sembilan dan tindakan berkumpul beramai-ramai boleh menyebabkan penularan virus ini dengan lebih pantas.

Mohd Yusof berkata, data Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) sehingga 8 Julai lalu menunjukkan secara kumulatif terdapat 50,130 kes positif Covid-19 dan 456 orang  meninggal dunia kerana wabak berkenaan setakat ini.

JKNNS juga mengesan 13 kes yang dijangkiti virus yang dikategorikan sebagai varian membimbangkan (VOC) yang terdiri daripada tujuh kes Varian Beta dan enam kes Varian Delta.

“Allah SWT melarang apa jua perbuatan yang boleh menyebabkan diri seseorang terdedah kepada risiko kehilangan nyawa secara sia-sia.

“Selaras dengan maqasid syariah yang bertujuan untuk menjaga nyawa, maka wajib dihilangkan kemudaratan terbabit.

“Sesuatu kemudaratan itu boleh dihindarkan atau disingkirkan melalui pelbagai cara termasuk mengambil langkah berjaga-jaga (precaution) terhadap sesuatu bahaya yang bakal menimpa,” katanya.

Related posts

Leave a Comment