12.2 juta disuntik, 424,541 dos tertinggi

PUTRAJAYA 14 Julai – Kadar pemberian vaksin Covid-19 harian terus mencatat peningkatan memberangsangkan dengan 424,541 dos diberikan di seluruh negara, semalam.

Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba, berkata jumlah itu adalah yang tertinggi setakat ini sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bermula pada 24 Februari lalu.

Katanya, lonjakan kapasiti vaksinasi harian itu menjadikan 12,212,730 dos vaksin sudah diberikan setakat semalam, dengan 11.8 peratus populasi negara sudah mendapat perlindungan lengkap dua dos vaksin Covid-19.

Jumlah individu yang sudah menerima dos pertama ialah 8,364,354 orang yang bersamaan 25.6 peratus daripada lebih 32 juta populasi negara.

Selain itu, seramai 3,848,376 orang telah menerima dua dos vaksin Covid-19, yang merangkumi 11.8 peratus daripada jumlah keseluruhan populasi negara.

Jumlah pemberian vaksin Covid-19 Malaysia pertama kali melepasi kadar 400,000 dos sehari kelmarin, dengan 421,479 dos direkodkan.

Sementara itu, data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang dikongsi Dr Adham, menunjukkan lebih 1.4 juta atau 51 peratus penduduk Sarawak sudah menerima dos pertama vaksin Covid-19.

Ia disusuli Labuan (39,898/40.1 peratus), Lembah Klang (3.2 juta/38 peratus), Perlis (80,803/31.7 peratus), Negeri Sembilan (342,605/30.4 peratus) dan Pulau Pinang (418,911/23.6 peratus).

Labuan pula mencatatkan kadar penerima dua dos vaksin tertinggi dengan 33,380 individu atau 33.5 peratus daripada jumlah keseluruhan populasi wilayah itu.

Ia disusuli Sarawak (661,799/23.5 peratus), Perlis (58,539/23 peratus), Negeri Sembilan (142,138/12.6 peratus), Lembah Klang (984,631/11.7 peratus) dan Perak (282,729/11.3 peratus).

Related posts

Leave a Comment