Aidiladha: Bangladesh tarik sekatan

DHAKA: Bangladesh akan menarik balik sekatan pergerakan mulai Khamis hingga sambutan Aidiladha yang disambut dari 20 hingga 22 Julai ini, walaupun kadar jangkitan baharu Covid-19 melonjak.

Bangladesh mula menguatkuasakan sekatan pergerakan paling ketat bermula pada bulan ini apabila jumlah jangkitan baharu dan kematian meningkat secara mendadak.

Sepanjang tempoh itu, orang ramai hanya dibenarkan keluar rumah untuk tujuan kecemasan dan membeli barang keperluan manakala pengangkutan awam, kedai dan pejabat ditutup.

Bagaimanapun, jumlah jangkitan terus meningkat,  melepasi sejuta orang dan

kematian meningkat melebihi 16,000 orang.

Biasanya, setiap kali sambutan Aidiladha, puluhan juta orang lazimnya akan pulang ke kampung untuk beraya bersama keluarga.

Berikutan langkah kerajaan itu, timbul kebimbangan dalam kalangan pelbagai pihak tentang peningkatan kes dan kematian.

Mohammad Shahidullah, yang mengetuai jawatankuasa kesihatan yang menasihati pemerintah tentang cara menguruskan pandemik berkata kumpulan dianggotai pakar menentang langkah melonggarkan sekatan pergerakan.

“Ia mungkin mencetuskan malapetaka. Keadaan Covid-19 masih membimbangkan,” kata bekas penasihat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi wilayah Asia, Muzaherul Huq.

Terdapat juga kebimbangan apabila berlaku kesesakan di pasar untuk membeli haiwan korban, penganjuran perhimpunan besar akan menjadi punca pandemik itu merebak.

Related posts

Leave a Comment