PUTRAJAYA 11 Jun – Sepuluh substrategi di bawah Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 selesai dilaksanakan di mana lima daripadanya pada tahun lepas dan lima lagi sehingga 3 Jun.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki berkata, kejayaan ini merupakan satu manifestasi komitmen dan kecekapan agensi-agensi terlibat dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
Beliau memberitahu demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Prestasi NACS 2024-2028 Bersama Agensi Peneraju Siri 2 Bil. 1 Tahun 2025 di Bilik Mesyuarat Utama, Ibu Pejabat SPRM, di sini, semalam.
SPRM dalam kenyataannya memaklumkan kejayaan itu memperlihatkan iltizam kerajaan untuk memperkukuh tadbir urus serta membanteras rasuah secara menyeluruh, sistematik dan konsisten, sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat di peringkat nasional dan antarabangsa.
Sepuluh substrategi adalah Memasukkan minggu tema mengenai etika, nilai-nilai murni dan antirasuah dalam kalendar akademik di sekolah; Menambah baik pelaksanaan Kursus Integriti dan Antirasuah di institusi pengajian tinggi.
Menjamin pelaksanaan MPGIA oleh Ketua Setiausaha dan Ketua Jabatan di peringkat kementerian, jabatan dan agensi; Memantapkan tatakelola dan fungsi Audit Dalam di Perkhidmatan Awam.
Menggubal perundangan bagi mengawal selia pintu masuk bagi menjamin keselamatan sempadan negara; Meningkatkan sistem saringan dalam pengambilan kerja penjawat awam; Memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen.
Mempertingkatkan tatacara pelaporan SPRM dengan mengemas kini status aduan kepada pengadu; Menganjurkan sesi libat urus dengan penggubal undang-undang di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri secara tahunan dan Mengkaji kebolehlaksanaan pelaksanaan Perjanjian Pendakwaan Tertunda dalam kerangka perundangan Malaysia.
Menurut Azam, bagi memastikan kelangsungan pelaksanaan serta keberhasilan setiap substrategi NACS, semua Ketua Agensi Peneraju diminta untuk memperkukuh penyelarasan dalaman melalui Unit Integriti masing-masing.
Beliau turut menekankan keperluan untuk menjalin kolaborasi erat antara bahagian dalam kementerian dan jabatan bagi memastikan pendekatan menyeluruh dalam pelaksanaan strategi itu.
Menurut kenyataan itu lagi, pencapaian pelaksanaan NACS itu boleh diakses orang ramai melalui laman web rasmi d-NACS yang berfungsi sebagai papan pemuka digital interaktif.
Ia memaparkan status semasa bagi setiap substrategi yang telah dilaksanakan, sekali gus memperkukuh prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban kepada rakyat.
NACS 2024-2028 dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 Mei 2024 telah menggariskan 60 substrategi merangkumi pencegahan rasuah secara sistematik, pengukuhan tatakelola serta pelaksanaan mekanisme pemantauan dan pelaporan yang berstruktur.
Inisiatif berkenaan bukan sahaja menjurus kepada penambahbaikan institusi malah bertujuan memperkukuh integriti perkhidmatan awam dan memperluas kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran negara.
Pencapaian NACS juga menjadi antara faktor utama kepada peningkatan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).
Nnnnn