Hampir separuh di Jakarta dijangkiti?

JAKARTA 14 Julai –  Hampir separuh penduduk Jakarta, Indonesia telah dijangkiti Covid-19, atau 12 kali lebih tinggi daripada keseluruhan kes yang dicatatkan di negara itu, demikian menurut satu kajian yang diterbitkan 10 Julai lalu.

Keputusan kajian itu, berdasarkan ujian antibodi koronavirus ke atas 5,000 penduduk Jakarta dari 15 hingga 31 Mac.

Keputusan ujian mendapati 44.5 peratus daripada mereka sudah mempunyai antibodi terhadap virus itu, membuktikan mereka pernah dijangkiti Covid-19 sebelum ini.

Kajian itu merupakan kerjasama di antara Pejabat Kesihatan Wilayah Jakarta, Fakulti Kesihatan Universiti Indonesia, Institut Biologi Molekular Eijkman, dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC US) berpangkalan di Indonesia.

“Melalui kajian ini, kami boleh menganggarkan bilangan penduduk di Jakarta yang sudah terjangkit dengan virus SARS CoV-2, sama ada dikenal pasti dengan ujian PCR atau tidak,” kata Ketua Pejabat Kesihatan Wilayah Jakarta, Widyatusti.

Menurut data Kementerian Kesihatan Indonesia, Jakarta telah merekodkan 382,000 kes Covid-19 pada 31 Mac, sewaktu kajian itu tamat.

Sehingga semalam, 13 Julai,  jumlah itu telah meningkat kepada 689,243.

Related posts

Leave a Comment