11 bilion dos tamatkan pandemik

NEW YORK: Selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa agihan vaksin lebih adil, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula mengingatkan bahawa dunia memerlukan 11 bilion dos vaksin bagi menamatkan pandemik ini.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata, jumlah itu diperlukan untuk kegunaan 70 peratus penduduk dunia malahan setiap individu di mana jua berada harus mempunyai akses kepada vaksin, ujian, rawatan dan bantuan Covid-19.

“Dana dan ikrar sumbangan vaksin dialu-alukan – tetapi masih tidak mencukupi. Kita perlu sekurang-kurangnya 11 bilion dos untuk menjayakan kempen vaksinasi sekali gus mengakhiri pandemik ini,” katanya.

Berucap pada pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Forum Politik Peringkat Tinggi mengenai Pembangunan Mampan, beliau berharap pembangunan dan pemberian vaksin melalui mekanisme ekuiti global, ACT-Accelerator serta kemudahan COVAX, memberi sedikit sinar harapan.

Mengenai “ketidaksamaan akses” vaksin yang berlaku di seluruh dunia, Setiausaha Agung itu berkata “jurang vaksinasi global mengancam semua” kerana virus tersebut terus bermutasi, menjadikannya lebih ganas dan membahayakan nyawa.

“Dunia memerlukan Rancangan Vaksinasi Global, sekurang-kurangnya dalam menggandakan pengeluaran vaksin, memastikan agihan yang adil melalui COVAX, menyelaras pelaksanaan dan pembiayaan, serta menyokong program imunisasi kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata, bagi merealisasikan rancangan ini,  Pasukan Petugas Kecemasan diminta menghimpun negara yang menghasilkan dan dapat menghasilkan vaksin, WHO, ACT-Accelerator dan institusi kewangan antarabangsa, untuk berurusan dengan syarikat farmaseutikal dan pengeluar, termasuk pihak berkepentingan lain.

Katanya, demi menamatkan pandemik dan memulihkan dunia adalah penting untuk membiayai sepenuhnya ACT-Accelerator dan mendukung pelan hala tuju pelaburan AS$50 bilion yang diketuai Dana Kewangan Antarabangsa, Bank Dunia, WHO dan Pertubuhan Perdagangan Dunia.

Related posts

Leave a Comment