Johor jangka pengguna VTL meningkat

ISKANDAR PUTERI 21 Nov. – Kerajaan Johor menjangkakan 1,440 orang akan menggunakan Laluan Perjalanan Vaksin (VTL) darat melalui Tambak Johor dan Laluan Kedua pada minggu pertama pelaksanaannya yang dijadualkan pada 29 November ini.

Menteri Besar Johor Hasni Mohammad berkata berdasarkan perbincangan antara kedua-dua kerajaan Malaysia dan pemerintah Singapura, jumlah pelawat yang menggunakan laluan tersebut dijangka meningkat kepada 2,500 orang pada minggu kedua dan seterusnya 5,000 orang pada minggu ketiga.

Beliau berharap pembukaan VTL darat yang dijadualkan berjalan serentak dengan VTL udara pada 29 November ini, tidak akan ditangguhkan.

“Sama ada bilangan ini menggunakan pengangkutan awam atau dibenarkan menggunakan kenderaan persendirian… ia sedang dimuktamadkan,” kata beliau pada hari kedua Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri ke-14 hari ini.

Mengenai kategori pelawat yang dibenarkan, Hasni berharap agar kategori yang sama untuk VTL udara akan dibenarkan juga untuk VTL darat.

Bagi memastikan SOP yang dilaksanakan bersesuaian dengan kapasiti saringan dan pengembara, satu ujian rintis berhubung VTL darat dijangka berjalan esok.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Bukit Batu), Andrew Chen Kah Eng (PH-Stulang) dan Liow Cai Tung (PH-Johor Jaya) yang bertanyakan mengenai kaedah dan SOP VTL darat, kategori dan jumlah pelawat.

Terdahulu, Hasni berkata kerajaan negeri bersama Kementerian Kesihatan sedang menyediakan dan mengukuhkan SOP berkenaan VTL darat terutama  prosedur operasi saringan kepada pelawat yang ingin keluar dan masuk sempadan kedua-dua buah negara.

Semalam, pasukan bertindak berbilang kementerian Covid-19 Singapura menyatakan sempadan darat Singapura-Malaysia mungkin dibuka menjelang hujung November untuk membolehkan mereka yang terpisah bersatu semula dengan keluarga.

Keutamaan diberi untuk keluarga yang telah lama terpisah sejak permulaan Covid-19.

Malaysia dan Singapura pun bersetuju bahawa pembukaan sempadan ini akan dilakukan secara beransur-ansur dan sistematik yang membolehkan aktiviti rentas sempadan dilaksanakan dalam keadaan paling selamat.

Selain itu, pelbagai isu perlu diberikan penekanan dan perhatian termasuk pengiktirafan sijil vaksinasi di antara dua negara, kapasiti semasa Tambak Johor dan juga Linkedua, kebenaran mengakses maklumat status vaksinasi oleh Malaysia dan Singapura, perjalanan bebas kuarantin dan pematuhan SOP kesihatan dari semasa ke semasa perlu diberi perhatian.

Related posts

Leave a Comment