SANDAKAN 12 Okt. – Dakwaan wujud ketegangan dalam kalangan ahli PKR Sabah di peringkat cabang yang tidak berpuas hati kerana campur tangan kepemimpinan pusat tidak menggambarkan situasi keseluruhan parti itu.
Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh, berkata beliau ada bertemu dengan ketua cabang yang membuat kenyataan itu dan mereka memaklumkan, dakwaan itu cuma membabitkan beberapa individu.
Selepas pertemuan itu, katanya, mereka berpuas hati dan bersemangat untuk memastikan parti yang dipimpin Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dapat memenangi lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
“Kenyataan itu dibuat oleh satu dua orang sahaja. Tidak melambangkan perasaan sebenarnya.
Selepas saya berjumpa (dengan ketua cabang), mereka berpuas hati dan mereka semua mahu memenangkan parti. Jadi semangat memenangkan parti itu lebih besar. Itu (dakwaan) kita dengar dan kita perbaiki mana-mana yang patut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau bekalan barang kawalan di Pasaraya Mydin, di sini, hari ini.
Semalam, akhbar melaporkan 17 ketua cabang dan timbalan ketua cabang mengadakan mesyuarat sulit di Kota Kinabalu pada Khamis lalu susulan rasa tidak puas hati terhadap pemimpin dari pusat yang didakwa campur tangan dalam perancangan kempen serta menentukan calon pilihan raya.
Ini termasuk isu calon payung terjun yang dicadangkan pemimpin pusat, antaranya bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Jamawi Jaafar yang sebelum ini pernah bersama dengan UMNO dan Warisan sebelum menyertai PKR.
Calon lain yang turut disebut ialah bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Ruji Ubi dan bekas Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa yang juga anak kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Musa Aman.
