Solat raya di tanah lapang masjid

ARAU 11 Julai – Solat sunat Aidiladha di seluruh Perlis akan dilaksanakan di tanah lapang berdekatan pekarangan masjid bermula pada pukul 8 pagi selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, perkenan itu diberikan selepas meneliti perkembangan semasa penularan pandemik Covif-19 di seluruh negara dan negeri serta kebenaran aktiviti mengimarahkan masjid ketika Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara.

“Pelaksanaan ini (di tanah lapang) selaras dengan sunnah Rasulullah SAW selain dapat mengurangkan risiko jangkitan dibandingkan solat ditunaikan di tempat tertutup.” titah baginda dalam kenyataan, hari ini.

Baginda bertitah, bagi memberikan ruang kepada penyertaan jemaah yang optimum, solat sunat Aidiladha dibenarkan dilaksanakan dua sesi iaitu pada sesi pertama pada pukul  8 pagi dan sesi kedua pada pukul 9 pagi.

Sekiranya keadaan cuaca tidak mengizinkan seperti hujan, maka solat akan dilaksanakan di dalam masjid dengan kapasiti saiz masjid mengikut prosedur operasi standard (SOP) sedia ada bermula pukul 8.30 pagi.

“Jemaah yang tidak terpilih menyertai solat berkenaan perlu bersurai dan pulang untuk menunaikan solat sunat Aidiladha di rumah masing-masing bersama ahli keluarga selaras dengan ketetapan dan risalah khutbah dikeluarkan Jabatan Mufti Negeri Perlis,” titah baginda lagi.

Baginda selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis bertitah, tempoh pelaksanaan solat sunat Aidiladha dan khutbah diringkaskan bagi mengurangkan risiko penularan.

“Selaras dengan ketetapan syarak, sebahagian jemaah boleh terus pulang ke rumah selepas menunaikan solat sunat Aidiladha tanpa perlu mendengar khutbah.

“Pelaksanaan solat sunat Aidiladha di mana-mana surau atau dewan orang ramai tanpa kelulusan pihak berkuasa agama Islam tidak dibenarkan,” tegas baginda.

Semua jemaah perlu mematuhi SOP seperti memakai pelitup muka dengan digalakkan memakai dua pelitup muka serta ditambah baik dengan pemakaian bersama pelindung muka, mengamalkan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1.5 meter pada setiap masa.

Mereka perlu membawa sejadah bersaiz standard, mengambil wuduk sebelum ke tempat solat dan tidak melakukan sebarang kontak fizikal seperti bersalaman, melakukan imbasan suhu badan, mengimbas MySejahtera atau mendaftar pada buku yang disediakan.

Warganegara dan bukan warganegara termasuk lelaki dan perempuan dibenarkan menyertai semua aktiviti mengimarahkan Aidiladha kecuali mereka yang berstatus individu dalam siasatan (PUI) dan dalam pengawasan (PUS) dan berisiko dijangkiti.

Related posts

Leave a Comment