Kematian pertama selepas 10 bulan

MELBOURNE 11 Julai – Australia melaporkan satu kematian akibat jangkitan Covid-19 hari ini yang pertama dalam tempoh 10 bulan.

Kes kematian terbaru itu dikaitkan dengan kelompok varian Delta yang dikesan di Sydney, ibu kota wilayah New South Wales.

Ketua Menteri wilayah itu, Gladys Berejiklian pada sidang medianya pagi ini berkata, jumlah kes harian yang dicatatkan di New South Wales mencapai paras tertinggi iaitu 77 kes tempatan.

Beliau menjangkakan jumlah kes jangkitan di New South Wales akan menjangkaui 100 esok.

Pada Sabtu (10 Jul) terdapat 50 kes jangkitan iaitu yang paling tinggi pada 2021, sebelum jumlah yang dicatat hari ini.

Berikutan perkembangan ini,  sekatan pergerakan yang dikuatkuasakan di Sydney mungkin tidak akan ditarik balik pada Jumaat depan seperti yang dirancang.

Sementara itu, program vaksinasi di Australia masih perlahan disebabkan kekurangan bekalan sejagat dan nasihat perubatan yang berubah-ubah.

Hanya lapan peratus daripada keseluruhan penduduk Australia sudah menerima suntikan penuh vaksin Covid-19. 

Related posts

Leave a Comment