Hospital medan di lapangan terbang

BANGKOK 11 Julai – Dua lapangan terbang antarabangsa, Suvarnabhumi dan Don Mueang akan menyediakan 7,000 katil sebagai persiapan menghadapi peningkatan kes baharu Covid-19 terutama di bandar raya Bangkok.

Menteri Pengangkutan Saksayam Chidchob berkata Lapangan Terbang Thailand (AOT) bersetuju supaya hospital medan didirikan di kawasan yang tidak digunakan di lapangan terbang itu.

Beliau berkata terminal satelit yang baharu siap di Suvarnabhumi akan menyediakan sekurang-kurangnya 5,000 katil manakala Don Mueang pula dalam proses ubah suai kawasan gudang untuk  menempatkan 2,000 katil bagi pesakit bergejala ringan.

Dalam usaha mengehadkan pergerakan rakyat, Ketua Angkatan Tentera Diraja Thailand Jeneral Chalermpol Srisawat berkata sejak Sabtu pasukan keselamatan dan pegawai pentadbiran tempatan telah dikerahkan ke hampir 150 pusat pemeriksaan di Bangkok dan sembilan wilayah.

Katanya, 88 pusat pemeriksaan telah didirikan di ibu negara dan 20 lagi di lima wilayah lain iaitu Nonthaburi, Pathum Thani, Samut Prakan, Samut Sakhon dan Nakhon Pathom.

Sementara itu 39 pusat pemeriksaan turut diwujudkan di wilayah selatan iaitu Songkhla, Yala, Pattani dan Narathiwat.

Chalermpol berkata untuk mengekang aktiviti keluar masuk secara haram di sempadan, pihak berkuasa menempatkan lebih banyak anggota dan peralatan, selain menjalin kerjasama dengan penduduk kampung dan pegawai pentadbiran tempatan.

Thailand akan menguatkuasakan langkah pencegahan lebih ketat bermula esok, 12 Julai termasuk perintah berkurung  mulai 9 malam hingga 4 pagi di Bangkok dan sembilan wilayah lain.

Related posts

Leave a Comment