Profesional bantah UK tarik sekatan

GOLONGAN profesional termasuk saintis, doktor dan jururawat menyifatkan pelan kerajaan Britain untuk menghentikan sekatan kawalan pandemik Covid-19 sebagai berbahaya, tidak beretika dan terlalu awal.

Lebih 4,000 orang daripada kumpulan itu menandatangani surat bantahan kepada jurnal perubatan Lancet yang disiarkan pada Rabu sebagai membantah pelan yang dijadualkan bermula 19 Julai.

Menurut golongan itu, kerajaan perlu menimbang semula strategi dan tindakan yang akan dilakukan bagi melindungi orang awam termasuk kanak-kanak.

“Kami percaya kerajaan sedang melakukan eksperimen yang berbahaya dan tidak beretika dan kami mendesak rancangan peralihan pada 19 Julai itu dihentikan segera,” kata mereka dalam kenyataan itu.

Mereka juga mendesak kerajaan menangguhkan pembukaan semula sekatan kawalan sehingga negara itu mencapai kadar vaksinasi yang tinggi serta penjarakan dapat dilakukan sepenuhnya di sekolah.

“Sehingga saat itu, langkah-langkah kesihatan awam mesti merangkumi apa yang diminta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” tambah kenyataan itu.

Surat itu, yang pada awalnya ditandatangani puluhan penyelidik, kini mengumpulkan lebih 4,200 tandatangan secara dalam talian.

Awal bulan ini, Perdana Menteri Britain Boris Johnson mengumumkan cadangan menghentikan semua sekatan Covid-19 bermula 19 Julai ini dan menjadikannya sebagai “Hari Kebebasan”.

Johnson dijangka mengumumkan mengenai keputusan akhir berkenaan dengan mengambil kira semua data pada 12 Julai ini.

Related posts

Leave a Comment