Persaraan bukan satu pengakhiran – Zuki

PUTRAJAYA 9 Ogos – Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali menyifatkan persaraannya sebagai sebagai penjawat awam adalah permulaan baharu untuk terus membantu kerajaan dan negara.

Mohd Zuki, 62, yang ditemui selepas mengimbas perakam waktunya buat kali terakhir sebagai penjawat awam, berkata, beliau sedia berkhidmat dengan memberikan, pandangan atau nasihat sekiranya diperlukan.

“Kita selagi khidmat diperlukan, insya-Allah kita akan bersedia untuk memberikan apa sahaja khidmat, nasihat atau pandangan.

“(Persaraan) ini bukan pengakhiran bagi saya, jika masih diperlukan, saya akan terus berikan perkhidmatan,” katanya di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Mohd Zuki,, menamatkan kontraknya sebagai Ketua Setiausaha Negara secara rasmi esok, selepas lima tahun menjawat jawatan berkenaan.

Beliau digantikan oleh Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Shamsul Azri Abu Bakar yang akan memegang jawatan Ketua Setiausaha Negara baharu berkuat kuasa Isnin ini.

Dalam pada itu, Mohd Zuki merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang memberi kepercayaan kepadanya untuk menjalankan tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Shamsul Azri yang bakal menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Setiausaha Negara baharu.

“Penghargaan tinggi juga diberikan kepada kedua-dua Timbalan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri terutama atas komitmen sepanjang saya jalankan tugas sebagai Setiausaha Jemaah Menteri.

“Pada kesempatan ini saya ucapkan terima kasih juga kepada semua ketua perkhidmatan dan semestinya kepada semua penjawat awam,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang 32 tahun berkhidmat sebagai penjawat awam, pelbagai pengalaman dan hikmah yang dilalui.

“Sepanjang menjadi Ketua Setiausaha Negara, saya sempat berkhidmat dengan dua Yang di-Pertuan Agong dan empat Perdana Menteri.

“Teristimewa jua terima kasih buat sahabat media yang sentiasa memberi sokongan kepada saya sepanjang saya memegang amanah sebagai Ketua Setiausaha Negara,” katanya.

Sementara itu, Anwar  menerusi hantaran Facebooknya, hari ini menzahirkan penghargaan kepada Mohd Zuki.

“Saya zahirkan penghargaan atas perkhidmatan dan bakti yang dicurahkan dalam perkhidmatan awam selama 32 tahun ini. Terima kasih, moga terus sukses dalam perjalanan hidup seterusnya dan diberkati Yang Maha Esa, ” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment