Empat kilang ditutup, pekerja dipindah

TAPAH 10 Julai – Empat kilang yang terletak dalam Mukim Bidor dan Batang Padang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai hari ini sehingga 23 Julai, diarah tutup, manakala semua pekerjanya dikenakan kuarantin.

Menteri Besar, Saarani Mohamad, berkata empat kilang yang ditutup itu dipercayai menjadi punca penularan pandemik Covid-19 dalam mukim berkenaan.

Beliau berkata, semua pekerja, kebanyakannya warga asing yang mendiami rumah sewa di beberapa taman perumahan dipindahkan ke dua Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang terletak di Sungkai dan Chenderiang, bagi mengekang penularan Covid-19.

“Bukan semua pekerja yang dipindahkan itu terkena jangkitan tetapi kita berbuat demikian untuk memudahkan pengawalan pergerakan, kerana jika dibiarkan, sudah tentu mereka akan keluar merayau di kawasan perumahan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau Program Jangkauan Komuniti di Dewan Serbaguna Kampung Mak Teh, Tapah Road, dekat sini.

Saarani berkata, tindakan memindahkan pekerja asing juga memudahkan Kementerian Kesihatan (KKM) melakukan ujian calitan kepada penduduk tempatan.

Katanya, hasil ujian calitan berkenaan akan membantu pihak berkenaan menjalankan PKPD secara bersasar membabitkan lokaliti penularan kes.

Related posts

Leave a Comment