5 kluster besar akibat rentas negeri

KUALA TERENGGANU 8 Julai – Lima kluster besar dalam komuniti dicetuskan di Terengganu akibat aktiviti rentas negeri (import B) bagi tempoh Mei dan Jun tahun ini, kata Pengarah Kesihatan Negeri Dr Nor Azimi Yunus.

Beliau berkata kes import B dari pelbagai negeri itu merekodkan 463 kes dan bilangan tertinggi di Kemaman iaitu sebanyak 307 kes diikuti Kuala Terengganu (36 kes) dan bakinya di daerah lain.

Ini telah mencetuskan lima kluster besar seperti Kluster Gong Badak (226 kes), Kluster Langgar Hilir (45 kes), Kluster Industri Teluk Kalong (109 kes), Kluster Pasar Kemunting, Pahang (13 kes) dan Kluster Kubang Jela (131 kes).

Terbaharu, Kluster Gong Pasir di Dungun juga berpunca daripada rentas negeri dan sehingga kini, sebanyak 40 kes positif Covid-19 telah dikesan daripada kluster itu,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya malam tadi.

Dr Nor Azimi berkata sebahagian kes import B yang berjaya dikesan itu membabitkan individu yang menjalani saringan kesihatan sebelum memulakan tugas di Terengganu.

“Cara begini kita boleh kesan awal dan penularan dapat dicegah…yang membimbangkan kita adalah warga Terengganu sendiri yang sering berulang-alik ke negeri berisiko atas sebab kerja dan lain-lain urusan.

“Rentas negeri tiada masalah namun mereka mesti lebih bertanggungjawab untuk jaga diri sendiri agar tidak memberi risiko kesihatan kepada orang lain. Jika kita tahu kita berisiko, pergilah buat penilaian dan saringan di Klinik Kesihatan berdekatan. Jangan sebab kelalaian kita, orang lain yang terkena,” katanya.

Related posts

Leave a Comment