Longgar tetapi kes dijangka naik

LONDON 6 Julai – United Kingdom (UK) akan memutuskan 12 Julai ini tetapi memberi bayangan bahawa sekatan berkaitan Covid-19 yang dikenakan akan dilonggarkan menjelang akhir Julai nanti.

Perdana Menteri Boris Johnson pada masa yang sama juga memberi amaran mengenai jangkaan negara itu bakal berdepan peningkatan kes jangkitan sehingga 50,000 sehari bermula 19 Julai nanti.

“Kita masih jauh lagi untuk memerangi Covid-19. Ia tidak akan berakhir pada 19 Julai nanti seperti yang kita jangkakan pada Februari. Kita sedang menyaksikan peningkatan kes secara drastik.

“Kita mungkin boleh mencecah 50,000 kes setiap hari menjelang 19 Julai nanti. Dan sekali lagi, seperti yang dijangka, kita akan menyaksikan peningkatan kes di hospital dan kita perlu bersedia dengan lebih banyak kematian akibat Covid-19,” katanya.

Menurut Johnson, kemungkinan untuk beralih ke fasa 4 pada 12 Julai masih boleh dilaksanakan memandangkan program vaksinasi negara itu kini dilaporkan berkesan mengurangkan penularan.

Sementara itu, arahan bekerja dari rumah juga dijangka ditarik semula.

Ini bermakna, penduduk boleh kembali ke pejabat apabila kelonggaran itu dilaksanakan bermula 19 Julai nanti.

“Tiada pensijilan Covid-19 diperlukan sebagai garis panduan untuk memasuki satu-satu pejabat atau majlis walaupun syarikat boleh menggunakan sistem sedia ada termasuk aplikasi NHS yang memberikan pensijilan Covid-19 untuk memaparkan status terkini anda,” jelas Johnson.

Pada masa sama, Johnson turut memberi bayangan bahawa tidak lagi mewajibkan penggunakan pelitup muka.

Related posts

Leave a Comment