Amaran gelombang kedua di Eropah

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran Eropah akan dilanda gelombang kedua Covid-19 jika orang ramai tidak berdisiplin dan terus ingkar peraturan langkah kawalan dalam membendung pandemik.

Badan dunia itu memberi peringatan demikian selepas peningkatan 10 peratus kes jangkitan koronavirus di Eropah berbanding dua bulan lepas yang didorong oleh peningkatan pergaulan, perjalanan, perhimpunan dan kelonggaran sekatan sosial.

Pengarah Wilayah WHO untuk Eropah, Hans Kluge berkata, peningkatan kes juga berlaku disebabkan varian Delta yang kali pertama dikesan di India dan sangat mudah tersebar berbanding Alpha yang julung kali dikesan di Britain.

“Delta mengatasi Alpha dengan sangat cepat melalui pengenalan yang pelbagai dan berulang, mengakibatkan lebih ramai yang dimasukkan ke hospital dan meninggal dunia,” katanya.

Malah, varian Delta mampu menjadi dominan di Eropah yang terdiri dari 53 negara dan wilayah, termasuk beberapa negara di Asia Tengah, menjelang Ogos ini.

Bercakap di Copenhagen, Denmark pada Khamis, beliau turut mengaitkan keadaan itu dengan pemberian vaksin di wilayah WHO di Eropah di mana purata pemberiannya hanya 24 peratus.

Ujar beliau, separuh daripada warga emas dan 40 peratus petugas kesihatan masih lagi belum dilindungi.

Ini katanya, tidak dapat diterima dan jauh daripada purata 80 peratus perlindungan sepenuhnya kepada penduduk yang disyorkan.

Related posts

Leave a Comment