Vaksin ‘lesen’ melancong

LONDON: Perdana Menteri Boris Johnson yakin warga Britain yang diberi vaksin Covid-19 sepenuhnya akan dapat melakukan perjalanan ke luar negara tahun ini.

Di samping itu, Britain juga akan menetapkan perincian pelan untuk membolehkan mereka yang disuntik tidak dikuarantin ketika kembali dari destinasi pelancongan seperti Sepanyol dan Perancis.

Johnson berkata, kerajaan akan memberikan lebih banyak perincian pelannya pada bulan ini dan perubahan peraturan akan berlaku pada 26 Julai, minggu pertama cuti sekolah di UK.

Kerajaan juga sedang mengadakan perbincangan dengan negara-negara Kesatuan Eropah (EU) untuk memastikan pelancong Britain yang mendapat dua dos vaksin tidak berdepan sekatan.

Itali, Portugal dan Sepanyol telah memperketat syarat kemasukan mereka berikutan peningkatan kes Covid-19 di Britain yang disebabkan oleh varian Delta yang lebih pantas menular.

Sementara itu, Britain melaporkan 27,989 kes baharu Covid-19, jumlah kes jangkitan tertinggi sejak 29 Januari.

Menurut data kerajaan peningkatan kes antara 25 Jun hingga 1 Julai hampir 72 peratus berbanding dengan tujuh hari sebelumnya.

Related posts

Leave a Comment