Sampai bila ‘lockdown, shutdown, down…’

PINJAM tajuk dalam bahasa Inggeris tetapi teks masih kekal dalam bahasa Melayu. Tajuk sekadar memudahkan penulis untuk menyampaikan mesej

Mesejnya, seperti diketahui umum, penutupan ‘secara penuh’ melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 menyebabkan banyak sektor ekonomi ditutup sehingga ramai yang susah, runsing, tertekan dan murung.

Akibatnya ada yang sanggup bunuh diri tanpa sempat ‘memberi isyarat’ bendera putih atau meluahkan apa yang terbuku kepada keluarga, rakan, jiran, ketua kampung, imam dan sebagainya supaya mereka boleh diselamatkan.

Adakah tindakan itu juga disebabkan masjid dan surau ditutup? Hakikatnya di situ juga pusat mengadu nasib malahan banyak yang menyediakan gerobok makanan jika makan minum menjadi bebanan akibat lockdown dan shutdown.

Mungkin sampai masanya masjid dan surau dibuka dengan syarat yang ketat seperti dilakukan Perlis dan Pahang. Imarahkan masjid walaupun dengan bilangan kecil.

Hakikatnya, masalah atau ‘penyakit’ ini difahami kerajaan atau pemerintah yang berhadapan dengan dilema antara ekonomi dan kesihatan.

Bukan sesuatu yang mudah bagi mana-mana kerajaan berhadapan situasi seumpama ini lebih-lebih lagi secara tidak langsung ada unsur-unsur politik yang sentiasa mencari silap dan kekurangan bagi menggambarkan kegagalan kerajaan.

Namun setiap masalah akan ada penyelesaiannya. Setiap penyakit ada ubatnya. Terpulang kepada pemerintah untuk mengambil pendekatan atau mencari penyelesaian yang boleh memulihkan semula situasi ‘down’ ini.

Dalam sehari dua ini, ada beberapa perkembangan yang boleh mendorong bebanan atau tekanan walaupun tidak semua akan dapat dikurangkan.

Khabarnya Perlis, Kelantan dan Terengganu antara beberapa negeri yang dijangka beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Keputusan untuk menamatkan ‘total lockdown’ di beberapa negeri dibuat oleh pentadbiran Putrajaya berpandukan nilai ambang di negeri-negeri tersebut yang telah berjaya dilandaikan hasil PPN.

Sabah contohnya mengambil pendekatan lebih awal untuk melonggarkan sekatan atau SOP tetapi tindakan yang mendahului kerajaan Pusat itu menimbulkan kekeliruan, yang dianggap tidak selari dengan kerajaan Persekutuan.

Mujur langkah Sabah itu pasti mendapat sokongan rakyat yang sudah lama terkurung. Bayangkan jika ia berkaitan isu lain, pastinya akan dipolitikkan bahawa kerajaan negeri sudah tidak selari dengan kerajaan Pusat.

Sama ada terkhilaf, terlepas pandang, atau terburu-buru, Sabah sepatutnya merujuk kepada kerajaan Pusat terlebih dahulu. Tujuannya supaya tidak timbul pertikaian yang boleh mengelirukan serta mendedahkan pelbagai persepsi buruk ‘komunikasi’

Tindakan songsang seumpama ini yang menyebabkan persepsi buruk terhadap usaha kerajaan melandaikan penularan Covid-19 yang akhirnya menjadi bahan kecaman. Banyak keputusan ‘tarik tali’ yang akhirnya ‘makan diri sendiri’.

Pada kebiasaannya, hal-hal berkaitan agama sahaja ditentukan oleh kerajaan negeri. Kerajaan pusat boleh memberi cadangan tetapi akhirnya kuasa negeri yang menentukan sama ada masjid atau surau dibuka, berapa jemaah dan SOP.

Justeru, tidak salah Sabah beralih ke Fasa 2 tetapi memerlukan perancangan SOP yang sesuai berdasarkan situasi semasa dengan tahap kewaspadaan yang tinggi kerana Covid-19 tidak akan meninggalkan kita lebih-lebih lagi adanya varian baharu.

Menunggu kes turun kepada 4,000 di peringkat nasional mungkin sukar kerana penyumbang terbesar yang konsisten adalah Selangor atau Lembah Kelang. Hingga ada yang ‘membuang’ Selangor ketika mengirim status kes harian Covid-19.

Mungkin di utara meliputi Perlis, Kedah, Perak dan Pulau Pinang boleh memasuki Fasa 2 dengan SOP yang sesuai serta boleh mengelakkan penularan.

Melalui langkah ini, sekurang-kurangnya dapat memberi nafas baharu pemulihan ekonomi serta pada masa yang sama mengurangkan tekanan ‘duduk di rumah’ sehingga terpaksa mencari kain putih untuk dikibarkan.

Related posts

Leave a Comment