PKPD 8 daerah Selangor, 14 lokaliti KL

KUALA LUMPUR 1 Julai –  Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikenakan di lapan daerah dalam Selangor yang membabitkan 34 buah mukim dan juga 14 lokaliti di Kuala Lumpur berkuat kuasa 3 hingga 16 Julai 2021.

Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan berkata, dengan pelaksanaan PKPD ini, semua laluan kawasan PKPD akan ditutup dan dikawal oleh PDRM.

“Semua penduduk di dalam kawasan PKPD tidak dibenarkan keluar dari kediaman masing-masing kecuali seorang sahaja wakil isi rumah keluar hanya untuk membeli keperluan asas di kawasan PKPD dalam radius 10 kilometer dari kediaman.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan ujian saringan secara bersasar ke atas semua penduduk di kawasan-kawasan yang terlibat,” katanya.

Tambah beliau, Jawatankuasa Penyelaras Program Vaksinasi Kebangsaan juga memberi jaminan bahawa program pemberian vaksin akan dipertingkat dan dipergiatkan di kawasan terlibat.

“Oleh yang demikian, pergerakan merentas daerah dan negeri bagi tujuan vaksinasi Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di luar daerah atau negeri tempat tinggal dibenarkan dengan menunjukkan butiran janji temu di aplikasi MySejahtera, laman sesawang atau SMS,” ujarnya.

Tegasnya, pergerakan tidak perlu di luar kawasan kediaman selepas pukul 8 malam tidak dibenarkan kecuali bagi kes-kes kecemasan atau mendapat kebenaran PDRM.

Katanya lagi, hanya sektor perkhidmatan perlu dibenarkan untuk beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam seperti utiliti, pembersihan dan kumbahan.

“Selain itu, hanya kilang bahan makanan dan keperluan asas harian seperti beras, roti putih, gula, minyak masak, tepung gandum, susu segar, susu tepung bayi, ubat-ubatan, dan topeng muka dibenarkan beroperasi.

“Kebenaran untuk bekerja hanya bagi perkhidmatan perlu atau menjalankan tugas rasmi kerajaan dengan surat pengesahan daripada majikan atau pas pekerja yang sah.

“Pekerja selain daripada perkhidmatan perlu tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD dan tidak boleh bekerja sepanjang tempoh PKPD,” katanya.

Berikut adalah lokasi PKPD di Selangor dan Kuala Lumpur:

SELANGOR 

Daerah Petaling

Mukim: Petaling, Damansara, Sg Buloh, Bukit Raja

Daerah Hulu Langat

Mukim: Hulu Langat, Ampang, Cheras, Kajang, Semenyih, Beranang

Daerah Sepang

Mukim: Dengkil, Labu, Sepang

Daerah Gombak

Mukim: Batu, Rawang, Setapak, Hulu Kelang, Kuang

Daerah Kuala Langat

Mukim: Tanjung 12 (1), Tanjung 12 (2), Teluk Panglima Garang, Morib, Bandar, Jugra, Batu

Daerah Klang

Mukim: Kapar, Klang

Daerah Kuala Selangor

Mukim: Ijok, Bestari Jaya, Jeram

Daerah Hulu Selangor

Mukim: Serendah, Rasa, Ulu Yam, Batang Kali

KUALA LUMPUR

  • Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Semarak
  • Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda
  • Flat Seksyen 2 Wangsa Maju
  • Flat Seksyen 1 Wangsa Maju
  • Kampung Padang Balang
  • Taman Koperasi Polis (Fasa 1 & 2)
  • Flat Sri Sabah
  • Kampung Puah
  • Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas
  • Flat Desa Pandan (Termasuk Baiduri & Delima)
  • Kampung Batu Muda
  • Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi
  • Bandar Baru Sentul
  • Taman Ikan Emas

Related posts

Leave a Comment