Brunei catat kes ke-260

BANDAR SERI BEGAWAN 29 Jun – Kementerian Kesihatan merekodkan satu lagi kes import, yang ke-119 dan kes Covid-19 yang ke-260 di Brunei Darussalam.

Dalam satu kenyataan semalam, kes melibatkan seorang lelaki berumur 42 tahun yang tiba ke negara ini daripada Manila pada 16 Jun 2021.

Beliau tidak mempunyai sebarang tanda jangkitan dan hasil siasatan dan pengesanan kontak mengesahkan tidak ada kontak rapat bagi kes baharu ini memandangkan kes ini telah dikurantin sebaik sahaja tiba ke negara ini.

Menurut kenyataan itu lagi, Brunei Darussalam mencatatkan 419 hari kes sifar, iaitu bagi kes terakhir jangkitan tempatan Covid-19 sejak laporan terakhir dicatatkan pada 6 Mei 2020.

Dua kes disahkan sembuh dan sembilan kes aktif masih menjalani rawatan di Pusat Pengasingan Kebangsaan, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang sembuh setakat ini meningkat seramai 248 orang.

Kesemua kes yang sedang dirawat di pusat berkenaan juga dalam keadaan yang baik.

Kementerian Kesihatan turut memaklumkan seramai 723 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori, sementara seramai 20,694 orang menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020.

Related posts

Leave a Comment